Oleh: Fareez Azman
BANGI: Aliran trafik di lebuh raya utama dijangka meningkat ekoran pertambahan kenderaan sehingga tengah malam ini.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ahmad Kamil Abdul Halim, pihaknya menjangkakan jumlah trafik melebihi setengah juta seperti semalam.

“Berdasarkan semakan catatan rekod sehingga jam 11 pagi tadi, aliran trafik yang direkodkan adalah 561,000 sehingga tengah hari tadi pergerakan terus meningkat.
“Kita jangkakan sehingga petang ini trafik terus meningkat sehingga membawa ke tengah malam,”jelasnya ketika ditemubual Buletin TV3 di Pusat Pengurusan Trafik LLM di sini hari ini.
Tambahnya, meskipun keadaan trafik dijangka meningkat, keadaan cuaca yang hujan di beberapa kawasan juga menyumbang kepada aliran trafik yang perlahan.
“LLM menjangkakan hari ini trafik direkodkan sehingga 2.6 juta kenderaan menggunakan lebuhraya utama,”jelasnya lagi.
Sementara itu, pemerhatian Buletin TV3 mendapati bilangan kenderaan mulai meningkat selepas jam 2 petang tadi.
Antaranya di Kilometer 19.8 Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur, KM25 Kulai menghala ke ibu negara dan KM257 Terowong Menora menghala ke Utara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.