comscore
Tumpuan :
Nasional

Aliran trafik tinggi di lebuh raya PLUS dijangka berterusan sehingga esok

Aliran trafik tinggi di beberapa lokasi di Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) sejak tengah hari tadi dijangka akan berterusan sehingga esok. – FOTO: Plustrafik/Twitter

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lokasi di Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) sejak tengah hari tadi dijangka sesak sehingga esok.

Ini kerana orang ramai dijangka mengambil kesempatan melakukan perjalanan susulan cuti umum Hari Buruh esok, selain ramai yang mula pulang ke ibu kota selepas menghabiskan cuti perayaan Aidilfitri.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, beberapa lokasi sepanjang lebuh raya itu hari ini mencatatkan peningkatan jumlah kenderaan sehingga berlaku kesesakan.

Setakat jam 2 petang tadi, katanya, beberapa laluan ke arah utara menunjukkan peningkatan jumlah kenderaan yang menyebabkan trafik bergerak perlahan.

“Trafik kini perlahan dari Sungai Petani selatan ke Bertam, dari Permatang Pauh ke Sungai Dua (kedua-dua arah), dari Auto City ke Juru dan dari Bandar Cassia ke Hentian Sungai Bakap selatan.

“Situasi sama turut berlaku di laluan dari Changkat Jering ke kawasan mendaki Bukit Berapit dan di susur masuk kawasan Rehat Sungai Perak arah selatan,” katanya.

Selain itu, kesesakan turut dilaporkan berlaku berikutan insiden kebakaran kereta di Kilometer 257.8 arah utara di terowong ke Kuala Kangsar yang menyebabkan lorong kiri terhalang.

“Beberapa kesesakan trafik turut dikesan beberapa lokasi di kawasan tengah iaitu di kawasan mendaki dari Tapah ke Gopeng dan dari Sungkai ke Slim River.

“Aliran trafik juga tinggi selepas Plaza Tol Sungai Besi arah ke pusat bandar dan dari persimpangan Nilai Utara ke Kawasan Rehat Seremban selatan di kedua-dua arah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kesesakan juga kini berlaku dari Hentian Senawang utara ke Port Dickson utara, dari Hentian Bemban utara ke Ayer Keroh dan dari Simpang Renggam ke Machap.

Setakat jam 2 petang tadi, keadaan aliran trafik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru – Singapura dilaporkan sesak di kedua-dua arah.

“Keadaan cuaca di kebanyakan tempat adalah baik.

“Pihak PLUS menjangkakan kesesakan aliran trafik juga akan berlaku menjelang cuti umum Hari Wesak pada Khamis ini yang hampir dengan cuti hujung minggu,” katanya.

Justeru, katanya pengguna lebuh raya diminta merancang perjalanan masing-masing dengan sebaiknya bagi mengelak terperangkap lama dalam kesesakan trafik.

Di Lembah Klang, PLUS memaklumkan aliran trafik juga kini meningkat dan perlahan selepas Plaza Tol Sungai Besi di sini ke pusat bandar.

Trafik juga dilaporkan bergerak perlahan di Lebuhraya ELITE, arah Selatan dari Seafield ke Bandar Saujana Putra.

Sementara itu, untuk laluan ke Pantai Timur, ANIH Berhad menerusi Twitter @LPTTrafik melaporkan aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) kini lancar di kedua-dua arah.

Aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) turut dilaporkan masih lancar di kedua-dua arah pada masa ini.

Aliran trafik tinggi dan bergerak perlahan dilaporkan di beberapa lokasi sepanjang Lebuh raya Utara Selatan (PLUS).

Dalam pada itu, satu insiden kebakaran kereta dilaporkan berlaku di Kilometer 257.8 arah selatan dari dari Terowong ke Kuala Kangsar yang menyebabkan lorong kiri terhalang.

FOTO: dilampir
Insiden kebakaran kereta dilaporkan berlaku di Kilometer 257.8 arah selatan dari dari Terowong ke Kuala Kangsar yang menyebabkan lorong kiri terhalang. – Foto Foto Twitter @Plustrafik

Insiden berkenaan turut menyebabkan trafik sesak sepanjang lima kilometer.

Loading...
Terkini