Tumpuan :
Nasional

Amah ditahan seludup avokado dan jambu batu untuk majikan mengidam

KOTA BHARU: Wanita warga Indonesia ditahan bersama lapan kilogram (kg) avokado dan jambu batu di pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini.

Rampasan dibuat 11 November lalu sebaik wanita berusia 33 tahun itu tiba dari Indonesia dan membawa hasil pertanian itu dengan alasan untuk diberikan kepada majikannya yang mengidam kerana mengandung.

Ketua Pintu Masuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) LTSIP Mohd Ariwadi Mohd Salleh berkata, wanita itu ditahan di balai ketibaan selepas pulang bercuti di kampung halamannya di Indonesia.

“Pemeriksaan rutin dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dijalankan menjumpai pelbagai hasilan pertanian seperti avokado dan jambu batu seberat 8kg dalam beg pakaian wanita terbabit.

“Hasil pertanian yang dibawa masuk dari Indonesia itu tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah dan Sijil Perakuan Pematuhan (CoC).

“Menurut wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah itu, buah-buahan terbabit untuk diberikan kepada majikannya yang mengidam kerana mengandung,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Ariwadi berkata, hasil tanaman itu dirampas untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan itu bertujuan mengawal kemasukan komoditi pertanian yang berisiko seperti kehadiran serangga perosak dan penyakit yang boleh memberi kesan kepada industri pertanian dalam negara.

“Perbuatan mengimport produk pertanian tanpa CoC menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini