comscore
Tumpuan :
Nasional

Amah sanggup pura-pura didera, hanya kerana mahu pulang ke negara asal

Tangkap layar video tular

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu ‘nursing home’ warga Indonesia berpura-pura menjadi mangsa dera majikan, hanya kerana mahu pulang ke negara asalnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Superitendan Raub Selamat berkata, tindakan wanita lingkungan usia 40 an itu dikesan selepas siasatan dilakukan susulan sebuah video tular dikesan di media sosial TikTok, pagi tadi.

“Video berkenaan yang berlaku semalam, memaparkan seorang wanita warganegara Indonesia mendakwa dirinya didera oleh majikan semasa bekerja sebagai tukang bersih dan pembantu ‘nursing home’ di daerah ini.

“Bertindak atas video tular terbabit, Ketua Polis Balai Taman Pelangi bersama wakil Kedutaan Indonesia telah ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Hasil siasatan dan temubual yang dijalankan terhadap kedua belah pihak, mendapati tiada sebarang unsur penderaan terjadi.

“Tujuan wanita terbabit melakukan perkara ini adalah untuk pulang ke negara asal. Wanita itu telah diserahkan kepada pihak Kedutaan bagi tindakan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Raub menasihatkan orang awam agar mengesahlan kesahihan setiap kandungan video yang diterima terlebih dahulu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan berita, khabar angin atau berita tidak sahih,”katanya.

Dalam video tular berdurasi 4 minit 29 saat memaparkan seorang wanita berambut pendek dan berpakaian tshirt warna merah jambu mengadu kepada rakannya, dengan mendakwa telah didera.

Wanita terbabit juga dilihat menunjukkan kesan merah di belakang badan dan tangan yang didakwa ditarik majikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini