KUALA LUMPUR: Amalan meminta dan memberi komisyen dalam mana-mana pelaksanaan projek pembangunan termasuk perumahan perlu dihentikan segera.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya menegaskan bahawa pemberian komisen kepada mana-mana menteri atau parti politik tidak sepatutnya berlaku.

“Memang pada peringkat awal apabila saya ambil alih tanggungjawab Wilayah Persekutuan itu memang menghentikan projek-projek baharu kerana saya tidak mahu meneruskan amalan-amalan lama berkenaan.”
“Di mana tiap kali diubah suai plot ratio atau kelulusan itu ada hubungan dan habuan politik, ini amalan jijik yang merosakkan dan rasuah itu mesti dihentikan sebab itu saya tangguhkan peringkat awal.”
“Apabila kita dah siapkan struktur dan kerangka Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, maka kita harus teruskan dan tidak ada alasan untuk perlahankan tahap kelulusannya sebaik saja memenuhi syarat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di sini, hari ini.

Tegas beliau, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat daripada menjalankan operasi mereka dan memperoleh keuntungan.
“Syarat yang ditetapkan ketat dan dibolehkan untuk membina bangunan pencakar langit dan kondominium mewah namun ia perlu diimbangi dengan perumahan sederhana dan perumahan rakyat.”
“Kita pastikan ada keuntungan dan tiada masalah. Jadi janganlah potong RM10 juta, RM15 juta beri kepada parti seperti amalan sebelum ini.”
“Saya faham ramai yang marahkan saya bila sebut perkara ini tapi semua orang tahu, tanyalah pemaju di Wilayah Persekutan adakah saya betul atau salah dan adakah saya melebih-lebih atau beritahu perkara sebenar.”
“Tanpa terkecuali semua kata ya, ini telah menjadi amalan dan kita telah lakukan. Sekarang saya kata kita perlu menghentikankan semua ini.”
“Pulangan yang RM10 juta, RM15 juta yang diberikan sebagai komisen dipulangkan kepada rakyat, itu yang saya minta rakyat faham,” katanya.
Katanya, satu keputusan yang berani serta anjakan perlu dilakukan sekiranya mahu budaya itu berubah dalam usaha melawan sistem rasuah yang menebal dalam negara.