Tumpuan :
Nasional

Amaran banjir di beberapa daerah di Sabah mulai Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran awal kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan lembangan sungai di Sabah, yang dijangka berlaku selama tiga hari bermula Sabtu ini.

Dalam satu kenyataan, JPS berkata amaran ini dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan (berbahaya dan berjaga-jaga) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini, yang meramalkan hujan lebat dalam beberapa hari akan datang.

Banjir dijangka memberi kesan kepada beberapa kawasan di pantai barat Sabah (Ranau dan Kota Belud), terutamanya di lembangan sungai seperti Sungai Abai, Sungai Tempasuk, Sungai Kadamaian, Sungai Kawang-Kawang, Sungai Wariu, Sungai Labuk, Sungai Sugut, Sungai Bandau, dan Sungai Keguraan.

“Di Tawau (Lahad Datu), kawasan lembangan sungai seperti Sungai Segama, Sungai Silabukan, dan Sungai Sepagaya berisiko terjejas.

“Sementara itu, Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran) dijangka mengalami banjir di anak sungai, Sungai Kinabatangan dan lembangan sungai seperti Sungai Maruap, Sungai Kretam Besar, Sungai Labuk, Sungai Sugut, Sungai Paitan, dan Sungai Bongaya.

“Di Kudat pula, lembangan sungai yang terbabit termasuk Sungai Sikuati, Sungai Temalang, Sungai Sri Aman, Sungai Malubang, Sungai Telaga, Sungai Tapurau dan Sungai Bongon,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan memastikan pemantauan berterusan akan dilakukan di kawasan ini, dan amaran banjir akan dikemas kini sekiranya hujan lebat berterusan.

Jabatan itu juga memberi amaran bahawa banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan.

“Penduduk, terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko banjir, diminta untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Agensi pengurusan bencana juga dinasihatkan untuk membuat persiapan menghadapi kemungkinan kecemasan,” katanya.

Terdahulu, METMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan yang berbahaya untuk Kelantan, Terengganu, dan Pahang hingga 23 November.

Dalam kenyataan, METMalaysia berkata kawasan terjejas di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai sementara di Pahang membabitkan kawasan Jerantut, Kuantan, Pekan, dan Rompin.

METMalaysia juga mengeluarkan amaran kuning (tahap wasapada) hujan berterusan di Kelantan (Gua Musang), Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera), serta Johor (Mersing dan Kota Tinggi) sehingga 23 November.

Amaran kuning juga akan berkuatkuasa dari 23 hingga 25 November di Sabah, membabitkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran, dan Sandakan), dan Kudat.

Loading...
Terkini