KUALA TERENGGANU: Hujan lebat dan ribut diramal berlaku pada sebelah petang dan awal malam di negeri ini sehingga Isnin, disebabkan ribut tropika Trami yang sedang aktif di Laut China Selatan menghala ke Vietnam.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, ramalan cuaca signifikan sudah dikeluarkan semalam berkaitan ribut tropika Trami yang menyebabkan peningkatan kelajuan angin di rantau negara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kejadian garis badai yang akan menyebabkan berlakunya hujan lebat dan angin kencang terutama pada waktu petang dan awal malam sehingga ribut itu berakhir.
“Ia juga berpotensi membawa hujan berterusan di Sabah serta membentuk garis badai di Utara dan Pantai Timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, amaran ribut tropika Trami tidak mempunyai kaitan dengan Monsun Timur Laut (MTL) kerana ia belum bermula.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan tidak terlalu panik dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh sumber tidak sah di media sosial, sebaliknya merujuk ramalan yang dikeluarkan MetMalaysia.
“Tidak salah untuk dijadikan rujukan sebagai langkah berjaga-jaga namun perlu juga merujuk kepada MetMalaysia untuk info cuaca yang sahih.
“Orang ramai boleh mendapatkan amaran cuaca terkini yang sahih dari web rasmi jabatan untuk perkembangan terkini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.