KUALA LUMPUR: Amaran hujan lebat berterusan tahap buruk sehingga esok dikeluarkan di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan berkata, amaran cuaca di Kelantan dikeluarkan bagi daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
Manakala di Terengganu membabitkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.
Selain itu, katanya, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Jeli dan Kuala Krai di Kelantan, Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) selain Kuantan, Pahang sehingga esok.
“Amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan bagi seluruh Pulau Pinang selain kawasan Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung) sehingga Khamis ini,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.
Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.