comscore
Tumpuan :
Nasional

Ambil tindakan pembetulan segera teguran PAC – Fadillah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mahu Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengambil tindakan pembetulan segera terhadap teguran di dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) termasuk Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, PETRA mempunyai satu teguran audit yang dilaporkan dalam laporan PAC yang dijangka dibentangkan pada tengah hari ini.

“Saya mohon agar semua pihak mengambil perhatian yang serius akan teguran ini dan melaksanakan tindakan mitigasi dan pembetulan dengan pantas,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan PETRA, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menurut Fadillah, dalam LKAN 2/2024 yang dikeluarkan pada Khamis lalu, sebanyak 16 isu pengurusan air negara ditegur antaranya projek pembangunan sumber dan bekalan air yang lewat jadual, projek peningkatan kualiti air yang lewat jadual serta kadar rizab margin yang sangat rendah.

Sebelum ini, beliau dilapor berkata, Ketua Setiausaha (KSU) PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli akan mengetuai pasukan dalaman untuk meneliti setiap teguran LKAN tersebut.

Sementara itu, jelasnya, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) akan menganjurkan Seminar Mikroplastik Kebangsaan kali pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Isnin depan.

Seminar yang akan melibatkan penyertaan tempatan dan luar negara seperti Korea, Jepun, India dan Singapura bertujuan mendepani cabaran pencemaran mikroplastik dalam air serta persekitaran bagi memastikan kemampanan dan keterjaminan sumber air yang bersih kepada rakyat.

Pada majlis sama, turut diadakan Majlis Tandatangan dan Bacaan Ikrar Aku Janji membabitkan 15 syarikat yang telah menerima Surat Setuju Terima (SST) daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan projek JPS di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Fadillah berkata, ia melibatkan kos kontrak berjumlah RM1.245 bilion dengan peruntukan untuk tahun ini adalah sejumlah RM67 juta.

Projek rancangan tebatan banjir (RTB) yang telah dianugerahkan kepada syarikat tersebut meliputi negeri yang telah dikenal pasti memerlukan penumpuan kerana berpotensi sering menghadapi banjir seperti Johor, Selangor, Kelantan, Kedah, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

“Majlis ini diadakan bertujuan memperlihatkan keseriusan kementerian dalam memastikan komitmen kontraktor untuk melaksana dan menyiapkan projek dalam tempoh masa ditetapkan.

“Projek-projek RTB yang telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat berkenaan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan masalah banjir di lembangan sungai berkaitan di samping menjamin keselamatan dan mengurangkan kerugian kerosakan harta benda kepada penduduk serta infrastruktur awam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini