comscore
Tumpuan :
Nasional

Ambulans hantar wanita hamil rempuh lembu

Ambulans rosak pada bahagian depan tetapi pemandu, seorang doktor dan pesakit tidak cedera selepas merempuh lembu yang melintas jalan. – FOTO: Ihsan PDRM

GUA MUSANG: Sebuah ambulans yang dalam perjalanan menghantar seorang wanita hamil ke Hospital Sultan Ismail Petra merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Kilometer 30 Jalan Gua Musang-Kuala Krai awal pagi ini.

Namun, pemandu ambulans, seorang doktor dan pesakit terbabit terselamat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata ambulans itu dalam perjalanan ke hospital di Kuala Krai ketika kemalangan berlaku sekitar jam 4 pagi.

“Menurut pemandu ambulans itu, lembu itu tiba-tiba melintasi jalan ketika mereka sampai di kawasan berkenaan.

“Dia cuba mengelak lembu itu tetapi gagal. Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan ambulans tetapi semua penumpang tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata wanita hamil itu kemudian dihantar ke hospital oleh ambulans lain dari Hospital Gua Musang.

Polis memberi amaran kepada penternak lembu untuk memastikan haiwan mereka tidak berkeliaran di jalan raya awam bagi mengelakkan insiden seperti itu.

“Pengguna jalan yang melalui laluan ini diminta untuk lebih berhati-hati terutamanya ketika memandu pada waktu malam,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini