Tumpuan :
Nasional

Ambulans swasta terbabit dalam kemalangan

Sebuah ambulans swasta terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Lebuh Hi Tech, simpang tiga lampu isyarat Hospital Kulim. FOTO: PDRM

KULIM: Sebuah ambulans swasta terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta di Jalan Lebuh Hi Tech, simpang tiga lampu isyarat Hospital Kulim, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, ambulans terbabit tidak membawa pesakit dan hanya pemandu serta pembantu perubatan berada dalam kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 8.20 malam ketika ambulans yang dipandu lelaki berusia 33 tahun itu dalam penugasan dari sebuah hospital swasta di Bandar Perda, Pulau Pinang ke Hospital Kulim.

Sebaik tiba di lampu isyarat simpang tiga Hospital Kulim, ambulans itu membelok masuk sebelah kanan sambil membunyikan siren dan menyalakan lampu ‘beacon’ dan pada masa sama, ketika itu lampu isyarat berwarna merah.

“Namun secara tiba-tiba datang sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 19 tahun dari arah bertentangan dan melanggar bahagian belakang sisi sebelah kiri ambulans terbabit.

“Kemalangan itu menyebabkan ambulans itu terbalik namun kedua-dua pemandu serta penumpang dalam dua kenderaan itu tidak cedera,” katanya dihubungi BH.

Zulkifli berkata, kes disiasat di bawah Rule 17 LN 166/59 dan pihaknya sudah merakam percakapan pemandu van ambulans terbabit dan polis sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini