Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak boleh terburu-buru mengubah dasar pendidikan berkaitan peperiksaan sehingga menjejaskan kemenjadian murid.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM perlu meneliti keseluruhan aspek termasuk cadangan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatkan Tiga (PT3).
“Kita perlu sediakan pandangan keseluruhan KPM dan kita akan siapkan persiapan pandangan itu dan ia tidak boleh dilihat dalam satu aspek sahaja dan (perlu dilihat) lebih besar.
“Anak-anak kita bukan tikus makmal yang kita nak ulangkaji mereka, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPM, di sini hari ini.
Menurutnya, suatu ketetapan perlu diadakan termasuk penegasan semula khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan latihan guru.
Jelas beliau, ia bagi memastikan apa sahaja keputusan yang diambil KPM tidak boleh menjejaskan pelajar.
Fadhlina berkata demikian ketika mengulas mengenai saranan beberapa pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid agar UPSR dan PT3 dikembalikan.
Mengulas lanjut, ujarnya, cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincangkan.
Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan, setakat ini keputusan pemansuhan peperiksaan itu kekal.
“Kita ada tumpuan yang lebih besar khususnya Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu.
“Semua input ini termasuk peperiksaan UPSR sudah berada dalam sesi libat urus KPM khususnya Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu,” katanya.
UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.
PT3 pula mula dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan pada 2022.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.