Tumpuan :
Nasional

Anak-anak GISBH alami masalah kesihatan termasuk bantut

Foto: Amirudin Shari / Facebook

SHAH ALAM: Jawatankuasa kerja (taskforce) Pemulihan Anak-Anak GISB Holdings (GISBH) negeri Selangor mendedahkan ramai daripada mereka anak-anak yang dikaitkan dengan kumpulan itu mengalami masalah kesihatan termasuk terbantut.

Hasil itu diperoleh menerusi saringan dan pemeriksaan intensif dilaksanakan bermula 4 hingga 8 November lalu terhadap lebih 200 anak GISBH oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika mendedahkan perkara itu memaklumkan, dapatan pemeriksaan kesihatan fizikal menunjukkan 26.8 peratus kanak-kanak didapati terbantut dengan 6.8 peratus daripada mereka adalah bantut teruk.

 

Katanya, keputusan pemeriksaan juga mendapati 13.6 peratus mengalami susut berat badan dengan 7.9 peratus susut teruk.

“Dua kanak-kanak pula memerlukan penyiasatan lanjut berkaitan kardiologi.

“Selepas dua bulan di pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita mendapati 38.6 peratus mempunyai pertambahan berat badan,” katanya pada sidang media pasukan khas pemulihan anak-anak GISBH Selangor di Lobi Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil saringan kesihatan mental pula mendapati 84.8 peratus kanak-kanak yang disaring mengalami kemurungan dengan majoritinya berada di tahap ringan.

Bagi penyakit kebimbangan (anxiety) menunjukkan 96.7 peratus yang disaring mengalami masalah itu dengan 55 peratus daripada mereka berada di tahap ringan.

“Selepas keputusan saringan disemak oleh pakar pediatrik atau pakar perubatan keluarga, anak-anak yang perlu mendapat intervensi dan perawatan selanjutnya bagi kategori sederhana akan dirujuk kepada kaunselor dan teruk pula dirujuk kepada pakar psikiatri,” katanya.

Pasukan taskforce berkenaan ditubuhkan pada Oktober lalu dengan dipengerusikan secara bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari.

Pasukan taskforce itu juga melaksanakan sesi libat urus bagi membangunkan Pelan Pemulihan yang komprehensif bersama pakar bidang dari setiap kluster antara 17 hingga 18 Oktober lalu.

Pelan pemulihan itu juga merangkumi empat kluster utama, iaitu kebajikan, kesihatan, pendidikan, dan perundangan selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini