
PARIT: Lelaki yang maut dalam nahas jalan raya selepas menghantar isterinya ke tempat kerja pagi tadi berhasrat melaksanakan ibadah ‘aqiqah’ bagi menyambut kelahiran anak sulungnya hujung tahun ini.
Dalam nahas jam 10.15 pagi tadi, mangsa Muhammad Syafiq Muhammad Nazri, 23, cedera parah pada kepala selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 42, Jalan Ipoh-Lumut dekat Jambatan Bota, di sini.
Artikel berkaitan : Maut selepas hantar isteri ke tempat kerja
Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke rumah selepas menghantar isterinya, Nor Hidayah Rosli, 20, ke tempat kerja.
Nor Hidayah berkata, sudah menjadi rutin harian bagi suaminya menghantar dan mengambil dirinya di kedai makan Warung Simpang Desa, Gelung Pepuyu, di sini sejak mereka berkahwin Januari lalu.
“Tak pernah terdetik di fikiran saya bahawa suami akan pergi dengan cara sebegini. Pagi tadi ketika dia hantar saya ke tempat kerja, semuanya seperti biasa sahaja.
“Apabila ‘boss’ beritahu suami meninggal dunia kerana terbabit kemalangan, saya tak percaya sehingga saya sampai di tempat kejadian dan lihat dengan mata saya sendiri motosikal yang ditunggangnya remuk berada di tepi jalan,” katanya sebak ketika ditemui di kediaman keluarga mentuanya di Kampung Baru Layang-Layang Kanan, di sini, petang tadi.
Nor Hidayah yang sedang hamil lima bulan turut meluahkan perasan terkilannya kerana suaminya sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk melakukan ibadah ‘aqiqah’ bagi meraikan kelahiran anak sulung mereka.
“Dia kata mahu bela kambing (untuk kenduri aqiqah), tetapi anak dalam kandungan ini pun tak sempat kenal ayahnya,” katanya.
Katanya, Muhammad Syafiq yang menyara kehidupan mereka dengan melakukan pelbagai pekerjaan kampung adalah seorang suami yang lembut dan baik.
“Dia sepatutnya melaporkan diri untuk bekerja di kilang pemprosesan getah berdekatan rumah pada hujung bulan ini.
“Katanya apabila cukup modal nanti, dia mahu bawa saya berhijrah ke Proton City, Tanjung Malim kerana minatnya bekerja dalam bidang automatif,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Norazian Samsudin, 56, berkata anak kedua daripada enam beradik itu seorang yang periang dan cukup suka berkongsi cerita bersamanya.
“Pernah dia beritahu kalau dia sudah cukup simpanan, dia teringin bawa saya dan ayahnya (Mohd Nazri Ariffin, 62) ke Makkah untuk tunaikan haji.
“Malam semalam ada dia beritahu saya yang dia teringin sangat nak makan tauhu goreng masak kicap, jadi pagi tadi saya masakkan juga untuk dia makan selepas hantar isterinya ke tempat kerja.
“Tak sanggup saya nak lihat juadah itu atas meja, langsung dia tak sempat merasa padahal itu permintaan terakhirnya,” katanya sebak.
Jenazah Muhammad Syafiq Selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru Layang-Layang Kanan, jam 4 petang tadi.