comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Anak gajah mati dilanggar lokomotif KTMB di Kluang

KLUANG: Seekor anak gajah ditemui mati selepas dilanggar sebuah lokomotif keretapi milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di kilometer 679.5 antara Renggam – Mengkibol, dekat sini, malam tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 8.19 malam, ketika lokomotif yang membawa 70 penumpang dalam perjalanan dari Johor Bahru Sentral (JB Sentral) ke Segamat.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrain Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati, terdapat tiga ekor gajah termasuk seekor anak gajah telah menceroboh pagar keselamatan dan cuba menyeberang landasan berkenaan.

Tiga ekor gajah termasuk seekor anak gajah telah menceroboh pagar keselamatan dan cuba menyeberang landasan – Foto ihsan PDRM kluang

“Dua ekor gajah berjaya melintas landasan dengan selamat dan menuju ke kebun Simple Farm.” katanya dalam satu kenyataan.

Kemalangan itu menyebabkan bahagian hadapan sebelah kiri lokomotif terbabit kemek dan ia gagal untuk meneruskan perjalanan.

Susulan itu sebuah lokomotif bantuan tiba dilokasi kejadian pada jam 10.40 malam dan membuat penyambungan gerabak sebelum meneruskan perjalanan.

Tiada penumpang yang mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

Bangkai anak gajah terbabit kemudian ditanam kawasan berdekatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini