comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak pemandu lori ais dapat hadiah buat lesen kereta, motor percuma

BACHOK: Setelah mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, anak pemandu lori ais ditawarkan mengikuti kelas lesen memandu kelas D dan B2 secara percuma.

Muhamad Harith Mohd Afizi, 18, yang memperoleh keputusan 9A 1B mendapat tawaran itu dari Akademi Memandu Kist (AMKIST).

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak ini berkata, dia berterima kasih dengan peluang diberikan dan akan mengikuti kelas latihan bermula Sabtu ini.

Katanya cita-cita mahu menjadi jururawat dan sudah memohon jurusan berkaitan di beberapa pusat pengajian.

Tambah Muhamad Harith faktor kemiskinan keluarga membuatkannya mahu membantu bapanya Mohd Afizi Abdullah, 53, dan ibunya Siti Khalijah Mat Daud, 52, yang juga suri rumah.

“Saya nekad mengubah nasib keluarga melalui pendidikan. Amalan solat sunat dhuha, hajat dan taubat menjadi rutin sebagai faktor kejayaan dalam SPM 2023.

“Selain itu, saya juga bangun seawal 3.30 pagi setiap hari, awal pagi saya menghafal, waktu petang pula saya buat latihan berkaitan mengira,” katanya.

Muhamad Harith berkata demikian selepas menerima hadiah berkenaan daripada Pengarah Urusan AMKIST, Datin Noor Haslina Abdullah di Kampung Kubang Keladi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penolong Kanan Pentadbiran (PKP) SMK Badak, Tengku Azmi Raja Ismail.

Sementara itu, Noor Haslina berkata, hadiah berkenaan sebagai galakan untuk pelajar mempunyai lesen memandu khususnya lesen motosikal yang menjadi kenderaan harian ke sekolah.

“Pemberian lesen memandu secara percuma kepada pelajar cemerlang SPM adalah galakan untuk pelajar lain tahu kepentingannya dan mengurangkan risiko kemalangan di kalangan pelajar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini