comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Anak perempuan parah, dipukul dan ditendang bapa mabuk

REMBAU: Seorang bapa berusia 47 tahun ditangkap polis selepas tergamak memukul dan menendang anak perempuannya sehingga mengalami kecederaan parah dalam kejadian di Kendong, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, mangsa berusia 17 tahun merupakan pelajar sekolah terpaksa dikejarkan ke Hospital Tampin selepas ditendang di bahagian perut serta suspek juga bersenjatakan kerusi, raga menyimpan pakaian dan besi meja seterika.

Tangkap layar, rakaman berdurasi 21 saat kejadian tersebut

 

Pihaknya menerima panggilan telefon dari orang awam menyatakan kawannya telah dipukul bapanya sendiri kira-kira pukul 12.15 tengah malam di kaunter aduan Balai Polis Kota.

“Polis segera ke lokasi tersebut dan menahan suspek berusia 47 tahun di hadapan rumahnya dalam keadaan mabuk dan di bawa ke balai polis Kota untuk tindakan lanjut. Mangsa pula telah di bawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh ambulans.

“Mangsa mengalami luka di bahagian kiri kepala dan telah menerima 12 jahitan, luka dibahagian tangan kanan dan lebam di bahagian bahu kanan. Mangsa akan di rujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah dan ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut pakar perubatan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Hazri berkata, terdapat saksi yang merakam kejadian berkenaan iaitu teman wanita suspek, namun semasa polis tiba di lokasi kejadian, saksi tersebut telah beredar dan usaha untuk mengesan barang kes serta saksi yang dapat membantu siasatan masih diteruskan.

Menurutnya, suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah serta direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

Terdahulu, tersebar rakaman berdurasi 21 saat kejadian tersebut dan kecederaan yang dialami mangsa.

Loading...
Terkini