comscore
Tumpuan :
Nasional

“Anak saya cuba menyelamatkan rakannya sebelum turut tenggelam” – Ibu remaja lemas 

Suhana menunjukkan foto anaknya Muhammad Airell yang lemas bersama rakan, Mohamad Azihan di parit Kampung Perpat, Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini. FOTO: Ihsan pembaca

KOTA TINGGI: Ibu kepada remaja lemas di parit Kampung Perpat, Tanjung Sedili, Suhana Salman, 40, memberitahu ketika kejadian, anaknya Muhammad Airell Iskandar, 14, cuba menyelamatkan rakannya Mohamad Azihan Baharum, 18, namun kedua-dua mereka hanyut dibawa arus parit.

“Anak saya cuba menyelamatkan rakannya sebelum dia turut sama tenggelam,” katanya.

Suhana yang terkilan dengan pemergian anaknya memberitahu, dia mengetahui kejadian sebenar yang berlaku daripada rakan Muhammad Airell.

Katanya, Muhammad Airell dan lima rakan ke parit berkenaan untuk menjaring ikan dan ketika kejadian, anaknya mahu menyelamatkan Mohamad Azihan.

Sebelum itu katanya, Muhammad Airell meminta izinnya untuk keluar kira-kira 10 pagi, yang disangkanya untuk membeli kelengkapan motosikal.

“Hari ini dia tidak ke sekolah kerana ada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sebelum minta izin keluar, dia sedang menyembur cat di motosikalnya. Selepas itu rakannya datang dan dia maklum mahu keluar sekejap.

“Dua jam kemudian iaitu kira-kira 12.30, ibu Mohamad Azihan menghubungi saya memaklumkan anak lemas.

“Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan saya ketika itu, mengenangkan nasib mereka,” katanya yang sempat ke lokasi kejadian sebelum mayat anaknya ditemukan.

Suhana yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini, turut berkongsi perubahan Muhammad Airell daripada seorang pendiam kepada sangat manja.

“Memang akhir-akhir ini dia agak manja dengan saya dan suami… suka peluk-peluk saya. Saya pelik juga sebab kebiasaannya dia bukan seperti itu, suami juga hairan, namun kami tidak fikir apa.

“Tidak sangka pula hari ini kami kehilangannya, namun kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya yang memberitahu, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sayang, Tanjung Sedili.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini