comscore
Tumpuan :
Nasional

ANALISIS: Rakyat sambut baik saranan PM beri subsidi bersasar

FOTO: Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai

KUALA LUMPUR: Rakyat sambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar subsidi dibuat secara bersasar dan tidak dinikmati golongan kaya dan pemain industri.

Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata sudah lama Malaysia cuba melaksanakan program subsidi bersasar, tetapi masalah utama negara tidak mempunyai maklumat penerima yang terperinci.

“Kalau kita nak ada subsidi bersasar, kita perlu ada maklumat terperinci. Bersasar bermaksud hendak mensasarkan kepada isi rumah, dan statistik atau data yang ada masa kini fokus kepada makro data bukan mikro data,” katanya kepada Berita Harian hari ini.

Menurut Barjoyai, terdapat lebih 40 juta pengguna telefon bimbit di Malaysia dan kerajaan boleh dapatkan data ini dengan mudah dari syarikat penyedia perkhidmatan serta dari sumber-sumber lain.

“Kita perlu mula mengumpul data untuk setiap isi rumah secara terperinci. Maklumat seperti umur, tinggal dimana, keadaan ekonomi individu, jenama pakaian mereka, berapa kali mereka makan, semua maklumat ini kita perlu ada,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia dan seluruh dunia berada di era data analitik.

“Untuk subsidi petrol, kita kata nak beri kepada penunggang motorsikal dan pengguna kenderaan cc rendah, ia boleh dilakukan tetapi kita perlu tahu siapa individu tersebut,” katanya.

Barjoyai menyarankan kerajaan menggunakan teknologi digital untuk pantau seperti kad Touch n Go dan kad debit.

Beliau berkata bagi menjayakan program subsidi bersasar, infra bagi tujuan tersebut perlu sedia untuk menyokong program tersebut barulah subsidi bersasar seperi program subsidi makanan, petrol, bil elektrik dan air boleh dijayakan.

“Mungkin untuk 2 atau 3 minggu pertama ini jawatan kuasa kos sara hidup akan mengesyorkan penstrukturan semula jawatankuasa tersebut,”katanya.

Sementara itu seorang lagi pakar ekonomi,Tan Sri Ramon Navaratnam berpendapat subsidi bersasar adalah satu langkah yang baik yang boleh menangani masalah terbesar rakyat masa kini iaitu kos sara hidup yang tinggi.

“Subsidi bersasar tidak hanya melibatkan satu jenis subsidi namun harus meliputi suluruh keperluan rakyat seperti makanan asas, petrol, utiliti seperi air dan elektrik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ramon berkata subsidi bersara juga boleh mengurangkan jurang pendapatan rakyat apabila kumpulan berpendapatan rendah kurang berbelanja berbanding golongan dari pendapatan tinggi.

Selain itu, subsidi bersasar juga boleh membantu golongan berpendapatan tinggi mula menjimatkan penggunaan air dan elektrik sesuai dengan agenda mampan negara.

Subsidi bersasar akan memberi impak kepada pengurusan ekonomi dan polisi negara.

Ramon berpendapat amat mudah untuk membezakan pengguna berpendapatan tinggi dan rendah dengan membuat kajian dalam ramalan jualan pengguna.

“Bagi pengguna yang menggubakan air dan elektri melebihi had minimum, mereka perlu membayar kadar lebih tinggi dan kepada pengguna yang kurang menggunakan kemudahan air dan elektrik, boleh diberi pengecualian,” katanya

Mengakui tidak ada sistem yang sempurna, Ramon berkata sekurang-kurangnya ia mampu membantu mengurangkan beban kepada pengguna yang berpendapatan rendah.

Ramon berkata Malaysia tidak perlu ‘mencipta semula roda’ sebalik belajar bagaimana mereka yang sudah menggunakan sistem yang baik.

“Banyak yang boleh kita pelajari dan peroleh dari negara lain, terutama berkenaan teknologi digital terkini, yang penting adalah prinsip dan dasar negara dalam menjayakan program tersebut,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Berdikari An Nur Puncak Alam, Jamilah Zainol, berkata pihaknya amat bersetuju dengan saranan Perdana Menteri itu.

Jamilah berkata gologan ibu tunggal memerlukan bantuan sokongan perniagaan sebagai contoh untuk mengukuhkan ekonomi mereka.

“Kalau sudah mampu, tak perlu diberi subsidi lagi, membazir sahaja duit kerajaan,” katanya hari ni.

Loading...
Terkini