comscore
Tumpuan :
Nasional

Ancaman keselamatan di bandar perlu diberikan perhatian – MKN

Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Baharuddin Ahmad

PETALING JAYA: Ancaman di pusat bandar selain daripada di sempadan negara perlu diberikan perhatian lebih serius.

Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Baharuddin Ahmad, berkata kerajaan perlu lebih bersedia dengan sebarang bentuk ancaman yang mungkin berlaku memandangkan dunia tanpa sempadan hari ini semakin terbuka.

“Saya melihat ancaman di bandaraya ini adalah satu ancaman yang perlu kita fikirkan, ia tidak mustahil akan berlaku.

“Ancaman yang akan berlaku di bandaraya ini, adalah kerana orang mencari rezeki di bandaraya, kita tak tahu bentuk macam mana ancaman,” katanya kepada Buletin TV3.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri temubual eksklusif dalam program Malaysia Hari Ini TV3 di Sri Pentas, pagi tadi.

Selain itu katanya, kepesatan teknologi hari ini juga membantu pasukan keselamatan mengadakan latihan dalam mempersiapkan negara dengan sebarang bentuk ancaman yang mungkin berlaku.

Oleh itu, MKN kini dalam usaha memberikan latihan berkaitan kepada agensi-agensi terlibat untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Beberapa ancaman keselamatan yang dilaporkan sebelum ini merupakan tindakan individu yang tidak berpuas hati dan ia bukanlah arahan daripada mana-mana gerakan ekstremis.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menafikan, kelemahan kawalan di pintu sempadan negara menjadi punca berlakunya penyeludupan secara haram termasuk senjata api menyebabkan ia dengan mudah diperoleh mana-mana pihak.

Justeru dalam meningkatkan keselamatan dan kawalan di sempadan negara, MKN melaksanakan koordinasi dengan semua pihak terlibat.

Katanya, kerajaan juga perlu mengikut langkah negara luar untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam melakukan pemantauan di semua sempadan.

“Apakah kita mampu menjaga setiap inci sempadan kita (yang) ratusan kilometer, adakah kita mampu menjaga setiap kilometer Sungai Golok yang takda berpagar?, Tidak.

“Mustahil, kecuali kita membuat satu sistem atau (menggunakan) pagar berteknologi (tinggi), teknologi dron, dinding pagar elektrik.

“Itu adalah sistem yang digunakan di seluruh dunia untuk menjaga sempadan mereka (dan) kita kena ikut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, MKN giat menasihati pelbagai agensi untuk bekerjasama dalam penyelarasan perisikan, pertukaran perisikan dan pertukaran teknikal bagi memastikan kelestarian serta keamanan negara terjamin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini