comscore
Tumpuan :
Nasional

Ancaman rentas sempadan, tindakan kolektif dunia diperlukan tangani isu Myanmar 

FOTO: Reuters

NEW YORK: Tindakan secara kolektif melalui pendekatan ASEAN adalah penting untuk menangani isu Myanmar, khususnya berkaitan dengan krisis kemanusiaan dan kezaliman terhadap umat Islam termasuk etnik Rohingya di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selaku Pengerusi ASEAN yang akan datang, mekanisme Troika akan terus diperkasakan dengan langkah berkeperluan namun tetap berlandaskan Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PCs).

“Pada masa yang sama, kita amat mengalu-alukan bantuan dan sokongan daripada kuasa besar, blok-blok berpengaruh serta organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Ini kerana isu Myanmar bukan isu yang mudah. Ia menjadi ancaman yang melepasi sempadan Myanmar, termasuk pengedaran dadah (seperti laporan terbaharu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah, UNODC mengenai kedudukan Myanmar sebagai pengeluar dadah terbesar di dunia), penipuan pekerjaan, perjudian dalam talian dan pelbagai lagi masalah jenayah,” katanya.

Mohamad berkata kepada media selepas majlis Pertukaran Nota atau “Exchange of Notes” di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB pada Rabu, yang turut dihadiri rakan sejawatannya dari Andorra, Imma Tor Faus.

Mohamad turut menegaskan bahawa keadaan di Myanmar kini melepasi skop hal ehwal dalaman negara itu dan memerlukan tindakan tegas daripada ASEAN dan rakan antarabangsa.

“Dalam menangani isu Myanmar ini, kita sebagai negara ASEAN perlu bersama-sama dengan negara anggota yang lain mencari cara terbaik untuk menangani masalah yang berlaku, terutama sekali kezaliman yang dihadapi oleh umat Islam di Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pertemuannya dengan wakil OIC Contact Group on Rohingya Muslims of Myanmar yang berlangsung di luar sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di sini.

Pada masa yang sama, Mohamad juga menyatakan bahawa Malaysia, melalui OIC, terus membawa suara yang lantang mengenai kezaliman yang berlaku terhadap umat Islam di Myanmar.

Justeru, beliau menyeru OIC agar memainkan peranan yang lebih tegas demi memastikan kezaliman terhadap umat Islam di Myanmar tidak dilupakan.

“Banyak pihak salah faham bahawa isu Myanmar hanya berkisar tentang Rohingya, sedangkan ada lebih tujuh juta umat Islam di Myanmar yang terdiri daripada pelbagai etnik.

“Malangnya, hanya 30 peratus yang diketahui umum dan mereka ditindas, dibunuh, dihalau serta rumah mereka dibakar.

“Kita tidak mahu apabila kita bercakap tentang Gaza, isu Myanmar dan etnik Islam di sana terlepas pandang.

“Oleh itu, Malaysia mahu tindakan tegas diambil melalui platform antarabangsa seperti OIC bagi menangani kekejaman ini,” katanya.

Malaysia, Laos dan Indonesia ketika ini meneruskan mekanisme troika dalam usaha untuk mengembalikan semula demokrasi di Myanmar, sebuah negara anggota ASEAN yang bergolak.

Troika secara umumnya merupakan konsep penggiliran pengerusi sesuatu acara bagi memastikan kesinambungan isu-isu yang dibincangkan.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini