comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota bomba jerit nama rakan “Sam” sebelum lemas

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Anggota bomba yang dipercayai lemas selepas kerja pembaikpulihan enjin bot (kevlar) di Jeti Pangkalan Marin Bomba di Sungai Perai di Mak Mandin, di sini, semalam sempat menjerit nama rakan setugasnya meminta bantuan ketika terjatuh di sungai.

Rakan setugasnya yang hanya dimaklumkan namanya “Sam” segera terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal menemuinya.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ketika kejadian mangsa, Mohd Izwan Illian, 42, telah selesai membaiki dan menguji enjin bot kira-kira jam 10.10 malam dan naik ke ponton dari bot.

“Rakan setugas mangsa sedang mengemaskan peralatan yang digunakan mereka di bilik stor dan mangsa pula berada dalam proses menambat bot dengan ponton di tebing sungai.

Mohd Izwan Illian

“Ketika itu rakan mangsa terdengar jeritan memanggil namanya ‘Sam’ dan menyedari mangsa tiada dalam bot sebab suis enjin berada dalam tangan mangsa dan bot mula bergerak.

“Rakannya segera terjun ke dalam sungai dan mencari mangsa selama 20 minit, namun gagal dan segera menghubungi pusat kawalan untuk bantuan,” katanya selepas memantau operasi carilamat di Sungai Perai.

Katanya, operasi carilamat dimulakan malam semalam, dan diteruskan awal pagi tadi.

Ujarnya, pasukan carilamat menggunakan empat kaedah dalam usaha mencari mangsa dalam jarak pencarian dilakukan satu kilometer ke hilir serta 500 meter ke hulu dari lokasi mangsa, dilaporkan terjatuh.

“Kaedah yang kita guna pakai adalah anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) membuat pencarian secara selaman dan pencarian di permukaan menggunakan penarik dasar.

“Kita juga menerbangkan dron, selain menggunakan khidmat dua anjing pengesan (K9) bagi proses menghidu bagi mengecilkan ruang pencarian.

“Operasi carilamat bermula pada jam 7.30 pagi tadi dan kaedah selaman hanya boleh dilakukan sehingga jam 11 pagi susulan keadaan air tidak sesuai untuk anggota PPDA meneruskan operasi.

“Bagaimanapun, kita akan meneruskan tiga lagi kaedah lain yang dikenal pasti bagi operasi pencarian dan kita harap mangsa ditemui,” tambahnya lagi.

Katanya, 50 anggota dan 9 bot digerakkan dalam operasi carilamat termasuk bantuan Polis Marin dan nelayan setempat.

Tambah Datuk Nor Hisham, pihaknya berdepan kesukaran dalam operasi carilamat susulan arus deras di Sungai Perai, selain ia dipenuhi sampah-sarap.

Selain itu, lumpur pada permukaan dasar sungai lembut turut menyukarkan pasukan PPDA melakukan selaman, namun katanya keadaan itu sudah dijangka dan pasukan melakukan selaman dengan lebih efektif.

Mangsa bertugas di JBPM selama 19 tahun, iaitu 7 tahun di Akademi Akademi Bomba Wilaya Tengah, seterusnya 12 tahun di JBPM Pulau Pinang.

Katanya, mangsa memiliki kepakaran dan minat yang mendalam dalam pembaikpulihan enjin bot serta tidak menghadapi fobia air semasa bertugas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini