KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dari Pasukan Gerakan Am-PGA-Batalion ke-9, Gong Badak Kuala Nerus, Terengganu dilaporkan meninggal dunia ketika berjoging di Bukit Besar, Kuala Terengganu.
Mangsa, Sarjan Azlan Ali, 54 tahun, dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.
Menurut isteri mangsa, Sakiah Yusof, 50, suami bersama anak perempuannya berusia 21 tahun, memulakan senaman dengan mendaki melalui jalan belakang bukit tersebut.
Kira-kira jam 10.30 pagi dia menerima panggilan dari anaknya menyatakan mangsa tidak sedarkan diri sebelum menelefon pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Anggota bomba yang bergegas ke lokasi mengalami kesukaran ke lokasi mangsa berada dan terpaksa menggunakan pengusung untuk membawa mangsa turun.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi.
Difahamkan mangsa baru pulang bercuti selepas sebulan ditugaskan di Kelantan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.