comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota polis bantu hantar lelaki terputus 3 jari ke hospital

Anggota polis MPV IPD Nilai menyelamatkan lelaki yang terputus jari dengan tindakan pantas menghantar mangsa ke hospital. FOTO: Ihsan Polis

NILAI: Usaha murni dua anggota polis Unit MPV berjaya membantu seorang lelaki yang terputus tiga jari untuk mendapatkan rawatan segera dengan tindakan pantas mereka menghantar mangsa ke hospital, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 itu, lelaki berusia 40-an itu dikatakan terputus tiga jari tangan kanannya ketika membaiki motosikal Yamaha 125Z yang mengalami kerosakan di Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah utara, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, lelaki itu kemudiannya dikatakan meminta bantuan sepupunya untuk dihantar ke hospital, namun kereta dinaiki pula mengalami overheat (terlalu panas).

“Ketika kereta peronda Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai dinaiki Koperal Mohd Rizad Roshlan dan Koperal Mohd Hazuan Azari Zakaria yang menjalankan penugasan rondaan di kawasan Nilai-Labu ditahan seorang lelaki di Kawasan Perindustrian Nilai 7.

“Lelaki itu memberitahu sepupunya mengalami kecederaan terputus tiga jari tangan ketika membetulkan motosikal yang mengalami kerosakan di lebuh raya dan perlu dihantar ke hospital dengan segera,” katanya, hari ini.

Abdul Malik berkata, anggota terbabit menghantar mangsa ke Hospital Salam dekat Senawang untuk rawatan kecemasan.

Beliau berkata, hasil maklumat, lelaki itu terputus jari ketika membaiki motosikalnya yang mengalami kerosakan di lebuh raya ketika dalam perjalanan dari Muar ke Kuala Lumpur.

“Kami difahamkan, lelaki itu berjaya menjalani pembedahan dan sudah dibenarkan keluar dari hospital petang semalam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini