comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota polis dibenar bawa hanya RM100 ketika keluar operasi – KP Selangor

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. – Foto NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

PETALING JAYA: Mana-mana anggota polis yang terlibat dengan sebarang operasi atau rondaan hanya dibenarkan membawa wang maksimum berjumlah RM100.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sekiranya jumlah itu melebihi amaun yang ditetapkan maka ia perlu diisytiharkan kepada penyelia mereka.

“RM100 memang prosedur (SOP) untuk petugas barisan hadapan semasa penugasan operasi.

“Mungkin ada kala dia keluarkan duit untuk bayar hutang dan tidak sempat berikan kepada ahli keluarga atau isteri maka perkara itu perlu dimaklumkan kepada penyelia mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Hussein menjelaskan perkara tersebut berikutan sembilan anggota termasuk pegawai trafik yang disiasat selepas dipercayai menerima rasuah.

Ini selepas penemuan wang berjumlah lebih RM3,000 yang ditemui di dalam kenderaan mereka sewaktu operasi sekatan jalan raya (SJR) Op Alkohol.

Mengulas lanjut, setiap anggota memiliki buku catitan (pocket book) bagi setiap penugasan atau operasi dan segala maklumat perlu dilaporkan menerusi buku berkenaan.

Ini termasuk jumlah wang yang dibawa setiap anggota setiap kali berdepan dengan penugasan operasi.

Hanya RM100 sahaja dibenarkan berada milikan petugas hadapan mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa penugasan sesuatu operasi.

Tambahnya lagi, siasatan kes dibuat mengikut undang-undang kecil berkaitan kesalahan harta tidak diketahui punca serta kesalahan tatatertib.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini