comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota polis luah rasa syukur terima rumah, rezeki bakal anak 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (tengah) semasa sidang media di Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Polis Bandar Sultan Suleiman Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Oleh: Aisyah Musa 

KLANG: Khidmat bakti yang dicurahkan demi kedaulatan negara akhirnya dibalas dalam bentuk rumah di sebalik cabaran ekonomi tidak menentu ketika ini.

Dengan kos sara hidup dan harga hartanah yang melambung sepastinya tidak mudah untuk kakitangan awam seperti anggota polis untuk memiliki rumah idaman bagi menjamin masa depan anak-anak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata usaha ini untuk memastikan anggota polis dan keluarga mendapat rumah yang lebih selesa terutamanya yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai.

“Pihak PDRM mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan yang sangat prihatin dan cakna atas kebajikan bagi meningkatkan mutu kerjaya kita,” katanya semasa Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Polis Bandar Sultan Suleiman Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hari ini.

Razudin (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada salah seorang penerima kediaman baru hari ini.

Lans Koperal Ezly Shahkaiza Mat Isa, 30 berkata beliau begitu gembira mendapat rumah itu setelah menunggu buat sekian lama.

“Usaha kerajaan ini dapat memberikan lagi semangat untuk anggota beruniform terutama PDRM melakukan tugas dengan fokus tanpa merisaukan keselamatan dan keselesaan anak isteri di rumah,” katanya kepada Buletin TV3.

Sementara itu, isteri Ezly, Nur Zulaikha Zulkifli,28 berkata rumah baru ini adalah rezeki bayi dalam kandungan yang berusia tiga bulan ditambah pula mereka baharu sahaja mendirikan rumah tangga awal tahun lalu.

Konstabel Mohamad Ikmal Yusry Mohd Nordin, 28 turut menyifatkan usaha kerajaan ini adalah rezeki anak pertamanya yang kini usia kandungan mencecah 7 bulan setelah mendirikan rumah tangga pada empat tahun lalu.

“Dengan adanya kebajikan yang terjaga, ini adalah pemangkin dan semangat buat kami semua yang berkhidmat utk negara,” katanya.

Kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan sebanyak RM 1.9 juta untuk menyediakan kediaman melalui projek pembaikan dan penyelenggaraan berkonsepkan pembesaran ruang kediaman dua unit kepada satu unit rumah untuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini