comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Anggur Syed Norhaimi kini produk pelancongan

Pengunjung teruja melihat pelbagai jenis anggur yang terdapat di Anggur Temin Agro Pelancongan di Jerantut. – FOTO: NSTP

JERANTUT: Tanaman anggur atau nama saintifiknya Vitis berbuah sepanjang tahun giat dilakukan Syed Norhaimi Syed Zin di Anggur Temin Agro Pelancongan, di sini.

Dia yang mula terbabit dengan tanaman anggur jenis manis atau ‘table grape’ sejak lebih dua tahun lalu kini menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP) dalam memajukan tanaman berkenaan sebagai produk pelancongan di negeri ini.

Menurut Syed Norhaimi, 59, dia kini mempunyai lebih 120 pokok membabitkan 17 varieti yang ditanam di rumahnya di Taman Seri Embun dan Anggur Temin Agro Pelancongan yang dalam kawasan Pusat Pertanian Temin, di sini.

Katanya, bagi mendapatkan pokok berkualiti seterusnya mampu menghasilkan buah yang banyak serta bersaiz besar, ia menanam dalam tiga rumah hijau.

“Saya kini berusaha untuk menghasilkan tanaman anggur yang mampu berbuah sepanjang tahun dalam rumah hijau yang berlainan. Sebagai contoh kini terdapat 32 pokok sedang berbuah di rumah hijau A. Pada masa yang sama 22 pokok di rumah hijau B kini sedang berbunga dan dijangka menghasilkan buah pada April. Pada Julai depan 32 pokok di rumah hijau C akan berbuah menjadikan pusingan pengeluaran anggur sepanjang tahun,” katanya, di sini semalam.

Syed Norhaimi berkata melalui kaedah itu, pelancong boleh datang setiap hari untuk melihat anggur yang berbuah lebat sambil bergambar bagi mengabadikan kenangan.

Syed Norhaimi berkata Anggur Temin Agro Pelancongan dibuka kepada pelancong bermula 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Anggur Temin Agro Pelancongan di Jerantut. – FOTO: NSTP

Tambahnya lagi, pengunjung pasti berpuas hati apabila berkunjung ke Anggur Temin Agro Pelancongan kerana dapat melihat pokok anggur matang menghasilkan buah yang hampir sama kualiti dengan buah anggur import.

Antaranya 17 varieti anggur yang ditanamnya termasuk Heliodor (buah hijau), Jupiter (buah hitam), Velez (buah kemerahan), Baikonar, Lorano, Juvile, Montecristo dan Krasava.

Bagi menambah tarikan, pihaknya turut mengadakan kursus menanam anggur.

Menurut Syed Norhaimi, di Anggur Temin Agro Pelancongan pihaknya turut menyediakan hidangan istimewa nasi lemak anggur dan laksa anggur yang mendapat sambutan menggalakkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini