Tumpuan :
Nasional

Angkara mabuk, tumbuk skrin sehingga pecah

KENINGAU: Akibat terlalu mabuk, seorang lelaki tanpa sedar memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di bangunan Tekun Jaya, Pekan Nabawan, di sini.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata kejadian dipercayai berlaku antara waktu malam pada Khamis lalu hingga subuh kelmarin.

Katanya, kejadian itu disedari kira-kira jam 8 pagi kelmarin oleh pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga mesin ATM berkenaan.

Susulan itu, beliau berkata, seorang pegawai bank berusia 42 tahun membuat laporan polis selepas menerima maklumat daripada pengawal keselamatan terbabit.

“Bagaimanapun, suspek berusia 31 tahun kemudian tampil sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau kira-kira jam 9.30 malam kelmarin dan mengaku perbuatan itu ketika memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasil soal siasat, beliau berkata, suspek juga tidak menolak kemungkinan dia menumbuk skrin itu sehingga pecah berdasarkan kesan luka pada tangannya.

“Suspek bersetuju membayar ganti rugi atas kerosakan mesin ATM itu.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, taksiran jumlah kerugian akibat insiden itu dijangka diketahui pada Isnin depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini