PUTRAJAYA: Pelantikan Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin sebagai Ketua Pengarah Kastam mencatatkan sejarah buat badan penguatkuasaan itu apabila beliau menjadi wanita pertama yang dilantik memegang jawatan berkenaan.
Anis Rizana, 54 tahun, berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 29 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan pada tahun 1994.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataannya berkata pelantikan berkenaan berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Zazuli Johan.
“Saya percaya dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki oleh Anis Rizana mampu menerajui agensi yang amat penting dalam pengutipan hasil kerajaan dengan cemerlang ke arah mencapai visi Malaysia MADANI”, katanya.
Anis mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Western Michigan University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia.
“Pelantikan ini merupakan kali pertama bagi seorang penjawat awam wanita menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Kastam, JKDM.
“Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan import eksport, penyelidikan dan pembangunan dasar, ekonomi, pengurusan dan kewangan serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha
Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan, ” katanya lagi.
Tan Sri Mohd Zuki turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Zazuli atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada Perkhidmatan Awam terutamanya sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kastam.