comscore
Tumpuan :
Nasional

Anthony Loke tinjau struktur jejambat LRT retak Rabu ini

FOTO: Facebook/ Rapid KL

SUBANG: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan turun meninjau kerosakan struktur jejambat landasan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang-Sri Petaling, Rabu ini.

Kesan kerja pembinaan bersebelahan kawasan terbabit menyebabkan tiang landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya retak dan landasan LRT pula bengkok.

“Saya akan buat tinjauan pada Rabu ini,” katanya ringkas pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kerosakan struktur jejambat LRT itu, yang menyebabkan Rapid Rail Sdn Bhd terpaksa menutup laluan antara Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya sejak 27 Januari lalu.

Penutupan laluan itu menyebabkan operasi perkhidmatan LRT di stesen Hang Tuah dan Masjid Jamek yang menyediakan khidmat ‘tren shuttle’ dan bas perantara percuma, sesak dengan jumlah penumpang yang tinggi, khususnya ketika waktu puncak.

Jumaat lalu, Anthony dilaporkan berkata, siasatan menyeluruh ke atas kerosakan struktur jejambat dan tiang yang retak berhampiran stesen LRT Bandaraya itu bakal mengambil masa dua minggu untuk dilengkapkan.

Sebelum ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan pemerhatian awal agensi itu mendapati kerosakan itu dipercayai berpunca daripada kerja pembangunan berdekatan yang dijalankan tanpa sebarang rundingan dengan APAD.

Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan menghentikan serta merta projek pembinaan bangunan di Jalan Raja Laut itu, membabitkan projek membina satu blok 44 tingkat Menara SOHO (326 unit) di Lot PT 163. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini