comscore
Tumpuan :
Nasional

Anthony Loke tolak dakwaan penukaran lesen B2 kepada B membahayakan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menolak kebimbangan institusi memandu tentang risiko penukaran lesen B2 kepada lesen kelas B secara automatik akan membahayakan pengguna jalan raya.

Loke secara berseloroh sebaliknya berkata institusi itu sendiri yang perlu bimbang akan potensi mereka kehilangan hasil daripada proses mendapatkan lesen B daripada pengguna.

“Pertukaran automatik itu lebih berbahaya bagi institusi memandu kerana mereka akan kehilangan pendapatan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kementerian masih belum memuktamadkan butiran cadangan langkah itu namun memberi jaminan bahawa kajian menyeluruh akan dijalankan mengenai perkara itu.

“Akan ada kajian untuk melindungi semua pihak. Ia bukan kelulusan menyeluruh. (Untuk penukaran) akan ada banyak syarat, dari segi had umur, bilangan tahun mereka telah memegang lesen dan mungkin satu atau dua lagi yang lain. Kami masih belum memuktamadkannya,” katanya.

Foto hiasan

Semalam, Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) Mat Aris Bakar mencadangkan kerajaan meneliti lebih lanjut butiran cadangan itu sebelum membenarkan peningkatan automatik lesen untuk penunggang motosikal.

“Menunggang motosikal berkuasa besar bukan sahaja memerlukan lesen B penuh tetapi juga kemahiran dan kecekapan tambahan yang tidak diperolehi apabila mereka mendapatkan lesen B2. Keselamatan perlu diutamakan kerana langkah itu boleh membahayakan nyawa mereka yang tidak biasa dengan perbezaan kelas,” katanya.

Pada masa sama semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan mengkaji mekanisme untuk mempercepatkan pelaksanaan cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal kelas B2 secara automatik kepada lesen B.

Beliau berkata syarat yang sedang dipertimbangkan ialah pemohon berumur 35 tahun ke atas dan memegang lesen B2 untuk tempoh tertentu.

Pada Ogos tahun lepas, Zahid berkata cadangan naik taraf automatik daripada kelas B2 kepada lesen B akan dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk pemeriksaan awal.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengklasifikasikan lesen memandu kelas B2 untuk motosikal tidak melebihi 250 cc, manakala kelas B melibatkan motosikal melebihi 500 cc.

Loading...
Terkini