Tumpuan :
Nasional

Anugerah profesor kehormat lambang hubungan baik Malaysia-China – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima penganugerahan profesor kehormat daripada Universiti Tsinghua. Foto FB Anwar Ibrahim.

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengaugerahan profesor kehormat daripada Universiti Tsinghua baru-baru ini, sebagai satu peristiwa penting dalam hubungan yang semakin erat antara Malaysia dan China.

Sambil menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga atas penghormatan itu, beliau berkata perkara itu juga melambangkan persahabatan yang berkekalan antara Malaysia dan China serta mencerminkan nilai dan aspirasi bersama yang mengeratkan kedua-dua negara.

“Saya berterima kasih kepada Universiti Tsinghua dan kerajaan China atas penghormatan yang luar biasa ini…Saya amat berbesar hati menerima penganugerahan profesor kehormat daripada Universiti Tsinghua ini.

“Saya menerima anugerah profesor kehormat ini bagi pihak rakyat Malaysia. Pengiktirafan ini melambangkan persahabatan yang kekal dan bersemangat antara kedua-dua negara kita dan visi bersama kita untuk keamanan, kemajuan dan kemakmuran,” kata beliau dalam catatan Facebook.

Semasa lawatan kerjanya ke republik itu baru-baru ini, Anwar telah dianugerahkan profesor kehormat Universiti Tsinghua, antara institusi paling dihormati di China, pada majlis yang berlangsung di kampus universiti Shanghai pada 5 November lalu.

Anwar juga menyatakan harapannya agar anugerah profesor kehormat itu akan menjadi pemangkin kepada kerjasama antara Universiti Tsinghua dan institusi pendidikan Malaysia.

Perdana Menteri turut mengiktiraf Universiti Tsinghua sebagai antara institusi terkemuka di dunia, khususnya terkenal dengan mempelopori dalam sains, teknologi dan inovasi.

Beliau menyifatkan universiti itu sebagai ‘pendukung kepada pemimpin dan idea yang telah mendorong kebangkitan luar biasa China,’ memuji komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk melampaui sempadan pengetahuan dan memupuk persekitaran yang kondusif untuk dialog global.

Anwar juga menekankan cabaran dunia kontemporari, yang politik identiti dan perpecahan semakin membentuk naratif global dan terdapat keperluan untuk tindakan kolektif menerusi dialog peradaban, bagi mengatasi ideologi yang memecahbelahkan dan sebaliknya memupuk perpaduan.

“Kita hidup pada ketika retorik konflik sering membayangi potensi besar kita untuk kerjasama, tetapi menerusi berdialog, dengan menghormati sejarah dan budaya masing-masing, kita boleh mengatasi cabaran ini dan mencapai keamanan yang berkekalan,” katanya.

Selaras dengan visinya yang lebih luas untuk dunia yang berkongsi keharmonian, Anwar meletakkan nilai dua tradisi etika besar Islam dan konfusianisme iaitu menekankan kesederhanaan, keseimbangan dan keharmonian sosial.

Beliau merujuk kepada ‘Zhongyong’ dalam pemikiran konfusiansme (Doctrine of the Mean) dan prinsip ‘wasatiyyah’ dalam Islam, sebagai falsafah panduan yang menyerlahkan kepentingan keseimbangan dalam menangani isu kompleks dunia.

“Kedua-dua prinsip menonjolkan kepentingan mengimbangi middle path untuk memupuk keharmonian sosial dan kemajuan yang mampan. Ia menyediakan rangka kerja penting untuk menangani isu mendesak dan bertindak sebagai lodestar yang membimbing kita ke arah penyelesaian yang benar-benar berkhidmat untuk kebaikan bersama,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini