Tumpuan :
Nasional

Anwar akhiri lawatan ke China, undang Xi ke persidangan ASEAN 2025

FOTO: Ihsan PMO

Oleh: Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan kerja di China dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping, petang semalam.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut menjemput Presiden Xi menghadiri Persidangan ASEAN 2025 tahun depan.

Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada Presiden Xi di atas sokongan jitunya terhadap penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi BRICS.

FOTO: Ihsan PMO

“Saya juga menyatakan penghormatan atas ucapan berbisa Presiden Xi di persidangan BRICS terkait perkongsian masa depan. Komitmen Presiden Xi cukup mengesankan dalam kalangan negara Global South.
Saya menghargai semangat beliau untuk mengangkat martabat rakyat terpinggir dan menjulang nilai kemanusiaan.

“Menjelang kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, saya tegaskan Malaysia bersedia memperkukuh hubungan serantau, terutamanya menerusi penganjuran sulung Sidang Kemuncak ASEAN GCC+China. Saya langsung menjemput Presiden Xi untuk menghadiri persidangan di Malaysia tahun depan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

FOTO: Ihsan PMO

Selain itu, katanya, Malaysia bersedia memperkukuh persahabatan dan kerjasama yang terjalin sejak 50 tahun lalu dalam perniagaan, ekonomi dan pelaburan terutama dalam teknologi digital, tenaga dan pendidikan.

Perdana Menteri dan delegasi Malaysia turut diberi penghormatan untuk menghadiri majlis makan malam bersama Presiden Xi, sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini