comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Anwar angkat sumpah Perdana Menteri ke-10

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang ke-10 di Istana Negara, hari ini.

Oleh Buletin Tv3

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada jam 5 petang.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Anwar, 75 yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan turut diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani Surat Cara Pelantikan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Setelah membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan baginda, Anwar kemudian menandatangani dokumen berkenaan.

Ia disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Hadir sama dalam istiadat itu termasuklah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Loading...
Terkini