comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar beri jaminan selesai segera MA63

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), di sini hari ini.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tidak ada sebarang masalah terhadap sebarang kritikan dan mengambil kira semua pandangan bagi menambah baik tadbir urus masa depan negara kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun tegasnya apa yang tidak boleh diterima beliau apabila ada pandangan yang membangkitkan sentimen seolah-olah kerajaan tidak bertindak apa-apa termasuk dalam menyelesaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Walhal ujar Perdana Menteri perkara itu tetap diteliti secara berperingkat sehingga kini seiring dengan hubungan baik yang terjalin erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Sejak saya jadi Perdana Menteri berbanding keadaan sebelumnya tahun 2022 peruntukan keseluruhan untuk Sabah RM12.9 bilion 2024, saya tambah jadi RM16 bilion ringgit untuk negeri Sabah.

“Jadi orang yang menyerang kita harus ingat betul kita masih belum putus soal 40 peratus, tapi saudari lihat RM16 bilion ini jauh melebih 40 peratus yang dijanjikan itu,” katanya

Jelas Anwar lagi jika dilihat secara keseluruhan pelbagai pihak boleh membuat tuntutan dan perjanjian yang telah disepakati namun jangan sesekali menafikan beberapa peruntukan yang diberikan kerajaan Persekutuan dalam membantu merancakkan pembangunan sesebuah negeri.

“Jadi kena lihat keseluruhannya boleh buat tuntutan boleh lihat perjanjian dan beberapa peruntukan yang disepakat tetapi jangan nafikan.

“Saya jadi Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Madani satu setengah tahun tapi dalam satu setengah tahun saya tingkatkan peruntukan Sabah ini tambah RM4 bilion ringgit, tertinggi dalam negara kita.

“Sebab ada Ahli Parlimen dari Kerajaan Perpaduan tapi macam PAS ke Bersatu ke jadi kadang kritik boleh bila berucap seolah kita dinafikan dianaktirikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), di sini hari ini.

Terdahulu pemimpin tertinggi masyarakat Kazadan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR), Huguon Siou yang juga Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ketika berucap berkata isu pengembalian 40 peratus hasil bersih negeri itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan MA63 perlu diselesaikan segera.

Pairin yang juga bekas Ketua Menteri itu berkata keperluan itu seiring dengan keperluan pelbagai masalah dihadapi Sabah justeru kehadiran Perdana Menteri ke majlis itu diharap dapat menyelesaikan luka itu yang berlarutan sejak sekian lama.

Kelmarin, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata Kerajaan Sabah akan mengemukakan tuntutan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu dan akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet negeri akan datang untuk disemak dan diluluskan sebelum dibawa ke kerajaan Persekutuan.

Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah 2024 dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan serta barisan Kabinet Negeri dan menteri Persekutuan.

Pada majlis itu Datuk Seri Anwar turut melakukan simbolik ‘mongomot’ atau menuai padi dan ‘popoo’pi pa’ai doid tangkob’ atau  menyimpan padi sebagai tanda selesai menuai padi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor semasa upacara melakukan simbolik ‘mongomot’ atau menuai padi dan ‘popoo’pi pa’ai doid tangkob’ atau menyimpan padi sebagai tanda selesai menuai padi sebagai simbolik perasmian penutupan Pesta Kaamatan di Penampang, Sabah, hari ini.

Datuk Seri Anwar turut mengisytiharkan penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 diikuti paluan gong sebanyak tujuh kali.

Bertemakan “Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan” tahun ini, Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah 2024 disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin semalam.

Pelbagai persembahan tradisi dan pameran kebudayaan etnik Kadazandusun dan Murut memenuhi aturcara sepanjang dua hari sambutan berkenaan, merangkumi acara yang diadakan di dalam dewan, dewan terbuka dan rumah-rumah tradisi.

Kemuncak sambutan akan tertumpu kepada pemahkotaan Unduk Ngadau Kaamatan 2024 yang diadakan petang ini.

Selain pengunjung tempatan, pelancong asing juga akan turut memenuhi Hongkod Koisaan KDCA sepanjang dua hari sambutan Kaamatan peringkat negeri itu.

Majlis pembukaannya telah diadakan di Ranau pada 1 Mei, Pesta Menuai yang kini berevolusi menjadi pesta perpaduan disambut masyarakat berbilang latar belakang di Sabah, juga seluruh negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini