
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan peringkat tinggi bersama pemimpin perniagaan daripada enam syarikat multinasional (MNC).
Pertemuan dengan syarikat AstraZeneca, Fortescue, DP World, Medtronics, Nestle dan Google itu berlangsung di luar Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Mountain Plaza Hotel, Davos, Switzerland.
Dalam perkongsiannya di Facebook, Anwar berkata peluang itu digunakan untuk menerokai lebih banyak sinergi pelaburan dan perdagangan demi kepentingan bersama-sama.
“Di sela-sela Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, Davos, Switzerland, saya berpeluang mengadakan pertemuan dengan pemimpin syarikat multinasional yang mempunyai pelbagai pelaburan di Malaysia.”
“Ruang lingkup ini digunakan untuk menerokai lebih banyak sinergi pelaburan dan perdagangan demi kepentingan bersama-sama,” katanya.
Tambahnya, sesi tersebut sebagai signal dan usaha berterusan kerajaan dalam meyakinkan serta menarik kemasukan pelabur asing ke Malaysia.
“Iklim pelaburan global menuntut kerajaan untuk lebih aktif memperluas radar hubungan dan kerjasama lebih erat bagi merebut peluang yang ada hatta membawa manfaat untuk dinikmati rakyat dan juga ekonomi negara,” katanya.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Davos untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.