comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar digesa pujuk bukan Melayu terima sistem pendidikan satu aliran

Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu (MPM) Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat menggunakan pengaruh kuatnya untuk mengajak kalangan bukan Melayu berikutan hanya Pengerusi Pakatan Harapan itu mampu memujuk dan menyelesaikan masalah, sekali gus melaksanakan sistem pendidikan satu aliran.

Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu (MPM) Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata, ia berikutan apa yang dituntut dan diperjuangkan golongan bukan Melayu itu pada ketika ini bercanggah dengan Perlembagaan negara.

Sehubungan itu beliau menegaskan, sistem pendidikan satu aliran yang diperjuangkan bukan semata-mata untuk menjaga orang Melayu, namun membela nasib bangsa lain secara keseluruhannya.

“Pada hari ini, Perdana Menteri baharu (dilantik) disebabkan penerimaan dan sokongan padu terutama daripada orang Cina, sudah pasti dengan semangat beliau dapat memujuk orang-orang Cina supaya kembali ke pangkal jalan.

“(Meminta mereka) menerima asas Perlembagaan, apa yang mereka buat itu boleh dikatakan 100 peratus bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya dalam sidang media di Wisma MPM Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Ibrahim meletakkan keyakinan kepada Anwar sebagai pemimpin yang dilihat mampu menyelesaikan perkara itu, yang mana gagal dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri terdahulu.

Ini kerana beliau mendakwa, tidak melihat mana-mana pemimpin mampu memujuk dan menyelesaikan masalah terbabit kecuali Anwar berdasarkan kepada pengaruh serta sokongan yang diterima dalam kalangan bukan Melayu.
Dalam perkembangan lain, MPM akan mengemukakan memorandum yang mengandungi 62 tuntutan dan bertemakan ‘Membina Negara Makmur’ kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Memorandum itu disediakan oleh Sekretariat MPM bersama 12 biro yang menganggotai Jawatankuasa Pemandu.

Jawatankuasa Pemandu ditubuhkan pada September tahun lalu, membabitkan 10 wakil daripada kerajaan serta pembangkang, berkuat kuasa sepanjang tempoh Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai dengan lima wakil kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan lima pembangkang.

Menjadikan Agenda Kemakmuran Negara sebagai tuntutan utama memorandum, MPN menggesa kerajaan supaya melakukan anjakan kepada agenda pembangunannya.

Ini kerana sebelum ini agenda kerajaan berpaksikan kepada pertumbuhan serta pembangunan, dan pada masa kini, ia perlu diubah kepada pembangunan yang berpaksikan kemakmuran.

Justeru memorandum yang mengandungi 12 domain yang saling berpautan antara satu sama lain dalam membina kemakmuran di negara ini, dengan membabitkan isu Hal Ehwal Islam, Pemerintahan, Politik dan Kepimpinan, Tadbir Urus dan Integriti; Pendidikan, Bahasa dan Nilai Budaya serta Ekonomi serta Kewangan dan Keusahawanan.

Turut tersenarai Keselamatan, Pertahanan dan Ketenteraman Awam; Kesihatan dan Kesejahteraan; Pembangunan Insan & Komuniti Madani; Pemeliharaan Alam-sekitar dan Pengurusan Sumber Asli; Tanah Simpanan Melayu; Perlembagaan & Perundangan dan Hak Asasi dan Hubungan Luar Negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad, berkata teras kepada memorandum itu ialah penggubalan Dasar Induk Negara, dengan menjadikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan utama.

Justeru katanya, satu akta khusus perlu digubal bagi melindungi dasar terbabit daripada dipinda, diabaikan atau disalah tafsir oleh mana-mana pihak dalam menjayakan agenda pembangunan negara yang aman dan makmur.

“Sebaik sahaja diumumkan pembentukan Kabinet, MPM akan menyerahkan memorandum ini secara rasmi kepada Perdana Menteri melalui wakil Barisan Nasional (BN) yang ada di dalam kerajaan.

“Kami mahukan kesinambungan. Oleh kerana ada wakil BN dalam kerajaan dan kami akan menyerahkan kepada Perdana Menteri melalui siapa juga wakil beliau di dalam kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Hasan berkata, MPM yang memiliki ramai cendekiawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersekutu dengan pihaknya, komited bersama kerajaan melaksanakan segala yang dituntut.

Sehubungan itu katanya, MPM juga bersiap siaga mengadakan dialog bersama Perdana Menteri pada bila-bila masa jika diminta untuk berbuat demikian.

|Kalau Kerajaan Perpaduan panggil kami, Insya-Allah bila-bila masa sahaja kami bersedia untuk mengadakan perbincangan dan menjelaskan perincian daripada memorandum ini,” katanya.

Antara domain dilihat menarik adalah Hal Ehwal Islam, yang mana MPM menyarankan supaya kerajaan mengangkat kembali Indeks Syariah yang dilancarkan pada 3 Ogos 2017 oleh Perdana Menteri terdahulu.

Melaluinya juga, MPM mencadangkan kewujudan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN).

Selain meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dirombak dan memindahkan kuasa pengendalian Skim Pensijilan Halal kepada Majlis Halal Negara (MHN).

Sementara melalui domain Pemerintahan, Politik dan Kepimpinan, MPM menuntut kerajaan mewartakan Wasiat Raja-Raja Melayu.

Pada masa sama, MPM mahu Dewan Negara diletakkan bawah kawal Penasihat Majlis Raja-Raja Melayu selain mengubal Akta Dana Politik. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini