Tumpuan :
Nasional

Anwar dijadual hadiri Sidang Kemuncak CEO APEC, bertemu pegawai kanan Google

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggoncang alat muzik Peru, sebagai gimik pelancaran Taman Suria Matahari Yinson Holdings Bhd pada Rabu lalu. FOTO: Ihsan Anwar Ibrahim / Facebook

LIMA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini hari ini sebagai sebahagian daripada pembabitan beliau pada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW).

Beliau akan menjadi ahli panel dalam sesi bertajuk “Peluang dan Cabaran dalam Revolusi Kecerdasan Buatan (AI)” bersama Naib Presiden Data & AI Microsoft, Zia Mansoor, Ketua Pegawai Eksekutif Vobile, Yangbin Wang dan Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan & Dasar Awam Google, Karan Bhatia.

Turut menyertai sesi terbabit yang akan berlangsung di Grand National Theatre of Peru ialah ahli Majlis Perniagaan APEC (ABAC) Kanada, Jan De Silva.

Sesi terbabit akan membincangkan mengenai potensi transformasi AI dalam memacu pertumbuhan ekonomi sambil menangani keperluan kritikal bagi tadbir urus.

Selain itu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan akan mengadakan sesi pertemuan bersemuka dengan Karan Bhatia serta bertemu dengan Persatuan Islam Peru.

Jadual Anwar pada hari ini akan berakhir dengan penyertaan dalam dialog ekonomi peringkat tinggi ABAC bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang menghadiri forum APEC buat pertama kali selepas memegang tampuk pentadbiran.

Malaysia adalah salah satu daripada 12 ekonomi pengasas APEC.

APEC adalah forum antara kerajaan bagi 21 negara anggota di Lingkaran Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik. Ia mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini