comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Anwar, Hsien Loong bincang isu Batu Puteh, kesesakan Tambak Johor, ruang udara

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura bersetuju mengadakan rundingan lebih terperinci terhadap langkah republik itu menambak kawasan sekitar Batu Puteh dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau membangkitkan perkara itu pada pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam lawatan rasminya ke sini hari ini, negara ketiga dilawati selepas Indonesia dan Brunei selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.

Turut dibincangkan ialah isu bekalan air, kesesakan Tambak Johor dan penggunaan ruang udara.

“Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sudah tetapkan Batu Puteh milik Singapura, jadi bila ada penambakan itu (di Batu Puteh) bagi Singapura, mereka ikut keputusan perundangan yang sudah diputuskan.

“Namun Malaysia minta Singapura teliti semula kerana setiap tambakan beri kesan sampingan kepada iklim, persekitaran dan persempadanan negara kita. Jadi saya dapat peretujuan Perdana Menteri Singapura supaya mendengar hujah kita dalam rundingan lanjut yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Penafsiran, pentakrifan dan interpretasi serta persetujuan mengenai kerja penambakan itu sedang dibincang dan diperincikan, sejauh mana penambakan boleh dilakukan. Kita pastikan rundingan akan dilakukan secara baik antara dua negara sahabat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, di sini, selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama rakyat Malaysia dan sebelumnya membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Halimah Yacob.

Terdahulu, Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada jam 9.40 pagi. Mereka disambut Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia menyatakan kepada Singapura mengenai pendirian tidak bersetuju dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini tidak bersetuju membawa kes Batu Puteh untuk rayuan di ICJ.

“Bagaimanapun ICJ sudah buat keputusan dan kita sebagai negara berdaulat mestilah menghormati penghakiman ICJ. Yang kita pertikaikan adalah langkah penambakan yang dilakukan Singapura itu.

“Namun Singapura setuju supaya perkara ini diteliti pasukan rundingan, terutama hujah dan alasan yang kita kemukakan dari segi kerosakan persekitaran dan hal bersangkut sempadan yang perlu dirundingkan secara teliti sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Mengenai isu air, Perdana Menteri berkata, perbincangan akan diperincikan bagi memastikan bekalan air mencukupi kepada Johor dan Singapura dengan perkiraan baharu, termasuk membabitkan Pahang.

“Kita ucap terima kasih pada kesediaan Singapura yang membuka pintu rundingan yang akan beri ruang kepada bekalan air mencukupi untuk Johor dan Singapura. Namun ia perlu dibincangkan dengan kerajaan Pahang, Johor dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengenai lalu lintas ruang udara, Anwar berkata, kedua-dua negara sepakat untuk menetapkan kawasan yang harus jadi hak mutlak Malaysia dengan Singapura bersedia berbincang supaya laluan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Changi tidak diganggu bagi laluan penerbangan republik itu.

“Berhubung kesesakan di Tambak Johor yang kritikal, kedua-dua negara bersetuju supaya ia dibaiki sementara kita perkenalkan sistem digital lebih canggih.

“Sementara itu, Malaysia setuju beri kemudahan tambahan pada hujung minggu dan waktu puncak bagi melancarkan perjalanan pekerja Malaysia masuk dan balik dari Singapura dengan kemudahan semakmimum mungkin oleh Jabatan Imigresen dan Kastam,” kataya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini