comscore
Tumpuan :
Nasional

PM ketuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB hari ini

 

Foto: Anwar Ibrahim/ Facebook

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berlepas ke New York, Amerika Syarikat (AS), malam tadi untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Anwar dalam kenyataannya di Facebook  meminta rakyat Malaysia mendoakan misi delegasi Malaysia berjalan lancar.

“Dalam perhimpunan bersama pimpinan dunia ini, saya antara lain akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim bagi mencapai Agenda 2030, hala tuju negara di bawah kerangka Malaysia MADANI serta beberapa isu global lain,” katanya.

Ini adalah UNGA pertama dihadiri Anwar sebagai Perdana Menteri sejak mengangkat sumpah pada 24 November tahun lalu.

Antara pemimpin dunia lain yang bakal hadir adalah Presiden AS Joe Biden, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.

Lebih 150 ketua negara dan kerajaan serta ratusan menteri, diplomat, wakil badan bukan kerajaan dan wartawan berhimpun di New York untuk menghadiri sesi ke-78 UNGA yang bermula pada Isnin.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres akan merasmikan sesi itu pada jam 9 pagi waktu tempatan, diikuti oleh presiden sesi ke-78 UNGA, Dennis Francis dari Trinidad dan Tobago.

Secara tradisi, Brazil akan menjadi negara pertama yang berucap, diikuti AS.

Loading...
Terkini