comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar jemput PM Singapura yang baharu melawat Malaysia

Lawrence Wong dan Anwar Ibrahim. – Foto X

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong untuk melawat Malaysia.

Perkara itu disampaikan Perdana Menteri menerusi panggilan telefon kepada Lawrence semalam, serta mengucapkan tahniah kepadanya di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Anwar berkata, Lawrence turut mengucapkan tahniah atas kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, minggu lalu.

“Sekalung tahniah kepada Lawrence Wong di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri baharu Singapura.

“Saya sempat sampaikan perkara tersebut menerusi panggilan telefon kepadanya hari ini sambil menyampaikan jemputan kepadanya untuk melawat Malaysia secepat mungkin.

Anwar mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong menerusi panggilan telefon. – Foto Facebook Anwar Ibrahim

 

“Beliau (Lawrence) turut mengucapkan tahniah di atas kemenangan pilihanraya di Kuala Kubu Bharu baru-baru ini.

“Kami senada untuk memberi komitmen dan bekerjasama rapat selain meneruskan perbincangan mengenai perkara yang berkepentingan bersama,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Selepas hampir dua dekad Lee Hsien Loong berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura, republik itu melantik Lawrence sebagai Perdana Menteri baharu.

Lawrence, 51, yang sebelum ini Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, menggantikan Hsien Loong, 72, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura sejak 2004.

Lawrence dipilih oleh Hsien Loong pada 2022 daripada generasi baharu pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak republik itu mencapai kemerdekaan pada 1965.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini