comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar nafi dilantik PM interim

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

“Sekarang ini ada kekosongan jawatan dan terbuka untuk permohonan,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) secara berseloroh.

Ditanya mengenai sama ada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ada menetapkan tempoh masa bagi mempertimbang pelantikan Perdana Menteri Ke-10, Anwar memaklumkan pihaknya tidak meletakkan sebarang tempoh kepada baginda untuk membuat keputusan.

“Kita secara hormat tidak bagi ketetapan. Hanya kita minta pertimbangan, kebijaksanaan dan ehsan baginda untuk memutuskan sebaiknya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Yang di-Pertuan Agong ada meminta beliau mewujudkan kerajaan perpaduan bersama parti dan gabungan lain, Anwar memaklumkan baginda sudah sekian lama menyatakan hasrat mengenai keperluan mewujudkan kerajaan perpaduan.

“Kerajaan perpaduan itu saya sebut semalam, dan kebetulan Yang di-Pertuan Agong juga sejak bertahun lalu secara konsisten memohon supaya ada semangat perpaduan di kalangan rakyat.

“Ini termasuk tatkala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin dilantik (sebagai Perdana Menteri), tapi mereka tidak menjalankan (titak baginda).

“Lainlah kalau saya. Saya hormat dan patuh,” katanya, memberi gambaran mengenai kemungkinan kerajaan perpaduan akan dibentuk selepas ini.

Semalam, Ahli Parlimen dan pimpinan tertinggi PH hadir ke Hotel Seri Pacific di sebelah ibu pejabat UMNO, untuk berunding dengan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengenai kerjasama kedua-dua musuh itu bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong meminta parti dan gabungan politik yang berjaya membentuk kerjasama bagi memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah 112, untuk menamakan calon Perdana Menteri Ke-10 sebelum jam 2 petang ini.

Loading...
Terkini