
NEW YORK : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, diberi peluang memimpin lafaz syahadah seorang pemuda, Andrew Vinals, selepas menunaikan solat dan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), tengah hari semalam.
Menurut pegawai media Pejabat Perdana Menteri, majlis itu adalah secara kebetulan dan tiada dalam atur cara rasmi, lapor Berita Harian.
Ketika Anwar beredar sambil bersalaman dengan jemaah selepas menyampaikan sumbangan al-Quran daripada kerajaan kepada masjid, pengacara majlis memaklumkan seorang lelaki dikenali sebagai Andrew Vinals berhasrat memeluk Islam dan memintanya tampil.

Seorang pegawai masjid kemudian menjemput Anwar sambil pengacara majlis mengumumkan Perdana Menteri akan menyempurnakan proses lafaz syahadah lelaki berkenaan.
Perkara itu turut dikongsi Anwar di Facebook beliau.
‘Usai solat Jumaat, saya diminta komuniti Islam di sini untuk menyempurnakan proses lafaz shahadah saudara Andrew Vinals yang berhasrat memeluk agama Islam,” katanya menerusi hantaran itu.
Sementara itu, Anwar yang berada di sini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, adalah pemimpin asing pertama diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat di pusat itu.
Di hadapan lebih 800 jemaah, Anwar berkongsi pengalaman Malaysia menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Kami sentiasa cuba menggalakkan persefahaman, toleransi dan keperluan untuk memahami budaya dan agama orang lain. Ia penting bagi kami untuk hidup rukun damai dan harmoni,” katanya.
Selain mengajak umat Islam mengukuhkan perpaduan serta memperoleh maklumat dan pengetahuan, beliau turut menjelaskan konsep “Malaysia MADANI” yang diperkenalkannya di Malaysia serta ancaman Islamofobia di seluruh dunia.
“Apabila kejadian membakar Al-Quran berlaku, Malaysia mencetak satu juta naskhah Al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia.
”Malah kami hantar 15,000 naskhah ke Sweden supaya mereka dapat melihat dan memahami, dan bukan bergaduh kerana jahil,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Imam pusat berkenaan, Saad Jalloh menyifatkan kehadiran Anwar dan rombongannya detik bersejarah bagi ICCNY kerana beliau, pemimpin pertama melawat masjid terbabit.
| ARTIKEL BERKAITAN:
- [VIDEO] Anwar tiba di New York untuk hadiri UNGA 78
- UNGA 78: Anwar akan beri pandangan isu global dan peranan masyarakat antarabangsa tangani cabaran
- UNGA 78 : Jurang perbezaan negara Selatan dan Utara perlu dirapatkan-Zambry
- Kerakusan kuasa besar menyebabkan peranan PBB diketepikan
- Konflik di Ukraine perlu diselesai secara baik melalui rundingan – Anwar
- [VIDEO] Malaysia komited bantu rakyat Afghanistan
- Masyarakat antarabangsa perlu bersuara menentang kekejaman dan penindasan terhadap Palestin
- [VIDEO] Halang provokasi terhadap Islam – Anwar
- Anwar pemimpin asing pertama sampaikan khutbah Jumaat di ICCNY