comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar pulang ke Tambun

FOTO: Perdana Menteri melambai orang ramai yang hadir menyambutnya di Pasar Tanjung Rambutan.

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan lawatan singkat ke Tambun, kawasan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu, tiba di Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini, jam 12.15 tengah hari.

Beliau disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta ratusan rakyat yang tidak mahu melepaskan peluang merakam gambar pemimpin negara itu.

Terdahulu, Anwar tiba di Perak melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini dan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta.

Dalam lawatan singkat kali ini, Anwar dijadual bersama rakyat Tambun dalam sesi tinjauan mesra dan ramah mesra bersama warga Parlimen berkenaan di Pasar Awam Tanjung Rambutan serta tapak cadangan projek pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi.

Perdana Menteri seterusnya dijadual menghadiri solat Jumaat dan kenduri rakyat di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Meru Raya.

Sesudah program dijadual tamat jam 3 petang, beliau dijadual berlepas pulang ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor.

Anwar menawan kerusi Parlimen Tambun pada PRU-15 dengan memperoleh majoriti 3,736 undi dalam saingan empat penjuru.

Loading...
Terkini