comscore
Tumpuan :
Hiburan

‘Anwar: The Untold Story’ raih kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan

Mohamed Yusoff (kanan) bersama Anwar dan Wan Azizah ketika majlis tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini. -FOTO: Ihsan DMY Creation

KUALA LUMPUR: Filem Anwar: The Untold Story mencipta sejarah apabila menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, semalam.

Kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

DMY Creation selaku pengedar rasmi filem berdurasi 108 minit itu yang ditayangkan di 120 pawagam seluruh Malaysia mengesahkan kutipan RM1 juta diperoleh pada hari pertama tayangan biarpun bersaing dengan filem antarabangsa, Fast X.

Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff berkata, pihaknya tidak menyangka kebanyakan pawagam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak penuh pada hari pertama tayangan.

“Anwar: The Untold Story menjadi pembuka jalan untuk pembikin filem menghasilkan filem biopik mengenai tokoh lain pada masa depan.

“Ia sekali gus membuktikan penerimaan penonton terhadap naskhah biopik berdasarkan kisah benar tokoh negarawan yang masih hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur sambutan luar biasa diterima.

Filem Anwar: The Untold Story berdurasi 108 minit mendapat sambutan luar biasa apabila ditayangkan di 120 pawagam seluruh Malaysia, sejak semalam.

“Menerusi hasil tinjauan, orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang seperti di Atria, MBO, Paradigm Mall, One Utama dan KLCC untuk menonton filem ini.

“Kami berharap sambutan terhadap filem Anwar: The Untold Story akan berterusan kerana kami mensasarkan kutipan tinggi untuk filem ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai filem Anwar: The Untold Story, Zunar berkata, filem itu juga mencipta sejarah kerana menjadi filem paling banyak menerima tempahan awal oleh pihak pawagam.

“Saya akui filem ini banyak terima tempahan lebih awal oleh pihak pawagam. Contohnya, pawagam di MidValley dan Pulau Pinang yang sudah penuh dan ditempah lebih awal untuk tayangan filem ini,” katanya.

Mengenai harapannya terhadap filem Anwar: The Untold Story, Zunar berharap filem itu mendapat sambutan berterusan orang ramai.

“Anwar: The Untold Story ini adalah genre yang jarang ada di Malaysia kerana ia membongkar kebenaran dan apa yang berlaku pada 1988. Justeru, saya berharap orang ramai akan datang untuk menonton kisah benar yang tidak pernah didedahkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Anwar: The Untold Story turut menyaksikan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi filem berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.

Filem dibintangi Farid Kamil yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Selain itu, filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu dimantapkan lagi dengan barisan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Loading...
Terkini