comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Anwar tuntut Muhyiddin tarik balik video Tik Tok didakwa fitnah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Tan Sri Muhyiddin Yasin menarik balik dengan serta-merta video Tiktok ucapan ketika ceramah ‘Grand Finale Perikatan Nasional (PN) Padang Serai’ yang didakwa Perdana Menteri sebagai memfitnahnya.

Anwar yang mengemukakan surat tuntutan kepada Muhyiddin hari ini melalui firma guaman Tetuan SN Nair & Partners, turut menuntut Muhyiddin memohon maaf tanpa syarat di atas penerbitan video berkenaan yang mendakwa beliau menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.

 

Menurut surat berkenaan, Perdana Menteri menegaskan, video didakwa memfitnahnya yang diterbitkan pada 5 Disember lalu melalui akaun di bawah nama ‘@beritakini8’ adalah tidak benar dan dibuat dengan niat jahat terhadapnya.

Anwar juga menuntut Muhyiddin memadam atau menarik balik semua komen yang menyinggung perasaan dan memfitnahnya dalam video terbabit.

Pengerusi PN itu juga dikehendaki memohon maaf tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang diluluskan oleh peguam Anwar dan membuat satu aku janji bertulis untuk tidak mengulangi apa-apa dakwaan dan komen seperti dalam video Tiktok berkenaan.

“Sekiranya Tan Sri gagal berbuat demikian, arahan kami adalah untuk memohon satu perintah injunksi dan meneruskan dengan tindakan perundangan.

“Anak guam kami juga mengarahkan kami untuk menuntut ganti rugi pampasan yang substantif atas apa yang dilakukan oleh Tan Sri sehingga menjejaskan reputasi anak guam kami dengan teruk sekali.

“Selain itu, anak guam kami juga menuntut daripada Tan Sri, semua kos guaman yang berbangkit daripada perkara,”demikian menurut surat tuntutan itu.

Menurut surat sama, video itu mengandungi perkara tidak benar dan fakta menyeleweng yang menunjukkan ketidakwajaran moral oleh Muhyiddin yang bertujuan mencari publisiti murahan bagi tujuan politik.

Ia juga berpendirian penerbitan video itu memberikan tanggapan kepada umum bahawa Anwar menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen, licik dan menggunakan taktik kotor serta tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Jelas surat itu, keseluruhan video dan perkataan memfitnah sudah disangkal oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli melalui satu kenyataan media bertarikh 7 Disember lalu menerusi akaun Facebook atas nama ‘Juwairiya Zulkifli.

Kenyataan media itu dipetik dalam artikel Free Malaysia Today bertajuk ‘Anwar hanya terima RM1 jadi penasihat ekonomi Selangor’.

Loading...
Terkini