Tumpuan :
Nasional

Anwar ucap takziah kepada keluarga mangsa nahas KM 204

Kemalangan yang berlaku di KM 204 Lebuhraya Utara-Selatan sebelum Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh menuju Arah Utara di sini, malam tadi. Kemalangan tersebut mengakibatkan kesesakan trafik sepanjang hampir 10 Kilometer.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa kemalangan membabitkan lima kenderaan di KM 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, di Melaka malam tadi.

Menerusi hantaran di laman X hari ini, beliau meluahkan rasa dukacita atas tragedi itu dan berharap agar keluarga mangsa diberi kesabaran dan ketabahan di waktu sukar ini.

“Mendoakan agar mereka yang terkorban ini diberi keampunan serta dikurnia tempat istimewa di sisi-Nya, insya-Allah,” kata beliau.

Tujuh termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara, 8.45 malam tadi.

Siasatan awal mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan.

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan empat penumpang MPV serta pemandu dan penumpang bas berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini