Tumpuan :
Nasional

Anwar ucap takziah mangsa nahas kemalangan udara di Washington

Pengawal Pantai AS bersama anggota pasukan mencari dan menyelamat memantau kawasan bangkai pesawat yang jatuh di Sungai Potomac River di Washington. – Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan dukacita atas tragedi nahas pesawat penumpang dan helikopter tentera Black Hawk berhampiran Reagan National Airport di Washington, semalam.

Perdana Menteri turut menyampaikan rasa simpati dan sokongan moral kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan dalam kejadian berkenaan.

“Keluarga dan rakan di Amerika Syarikat (AS), Russia, China, Filipina dan Jerman kini meratapi kehilangan insan tersayang sementara pasukan penyelamat berusaha gigih dalam operasi menyelamat.

“Lebih memilukan apabila mengetahui bahawa antara yang terkorban ialah atlet muda bagi luncur ais yang berbakat dan mempunyai masa depan begitu cerah.

“Dalam saat yang penuh duka ini, saya berharap keluarga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi kesedihan yang amat mendalam ini.

“Rakyat Malaysia turut bersimpati,” katanya dalam Facebook hari ini.

Sebelum ini media melaporkan kejadian sekitar 9 malam Waktu Standard Timur (0200 GMT Khamis), membabitkan sebuah pesawat penumpang yang berlepas dari Wichita, Kansas, dengan sebuah helikopter tentera Black Hawk.

Penyiasat turut menemui kotak hitam dari pesawat penumpang berkenaan dan setakat ini sebanyak 40 mangsa daripada keseluruhan 67 orang sudah ditemukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini