Tumpuan :
Nasional

APEC 2024: Malaysia dijangka suara kesepakatan ke arah ekonomi mampan, terbuka

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Malaysia dijangka menggunakan pentas Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 di Lima, Peru untuk mengusahakan kesepakatan negara anggota agar tidak mewujudkan dengan sengaja sebarang halangan dan sekatan perdagangan seperti peningkatan tarif.

Bagi penganalisis, sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, Kuala Lumpur juga bakal mengajak 21 ekonomi anggota APEC supaya mengamalkan keterbukaan dalam ekonomi masing-masing demi mencapai manfaat bersama.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan berpandangan, kenaikan tarif seperti dijanjikan pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) akan menjadi isu utama pada APEC 2024 kerana menimbulkan keresahan negara anggota.

“Pastinya isu tarif yang bakal diperkenalkan oleh Presiden AS ke-47 iaitu Donald Trump terhadap semua negara sebanyak 10 hingga 20 peratus dan terutama terhadap China sebanyak 60 peratus.

“Bukan sahaja Malaysia dikatakan agak risau tentang perkara ini, begitu juga dengan negara seperti China, Eropah umpamanya, begitu risau dengan perkara ini kerana jikalau diteruskan juga tarif yang dijanjikan oleh ‘president-elect’ Trump, ekonomi akan terbantut,” katanya.

Ketika ini, purata tarif di Asia Pasifik adalah kira-kira lima peratus berbanding 17 peratus pada 1980-an.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual tiba di Peru pada esok untuk mengetuai delegasi Malaysia dalam APEC ke-31 bertemakan ‘Empower. Include. Grow’.

APEC adalah forum ekonomi serantau yang dibentuk pada 1989 bertujuan menggalakkan perdagangan bebas dan memanfaatkan peningkatan kesalinghubungan rantau Asia Pasifik.

AS dan Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC, selain Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

Ini diikuti China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea pada 1993 sebelum Chile menyertainya pada tahun 1994 serta pada 1998, Peru, Russia dan Vietnam menyertainya.

Dengan hampir 40 peratus penduduk dunia, 21 ekonomi anggota APEC menyumbang separuh daripada perdagangan global dan lebih 70 peratus daripada pertumbuhan ekonomi global.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, Sidang Kemuncak APEC kali ketiga di Peru bermula 13 hingga 17 November ini dilihat signifikan kepada ekonomi sejagat terutama ekonomi Malaysia.

Ia dalam mendepani kesinambungan cabaran global, pasca pandemik COVID-19 serta perang perdagangan yang berterusan di antara AS dan China.

Menurutnya, penentuan agenda perbincangan dijangka memacu kepada pelaksanaan dua dokumen penting yang dipersetujui ketika Malaysia menjadi tuan rumah APEC pada empat tahun lalu, iaitu Deklarasi Kuala Lumpur 2020 dan Visi Putrajaya APEC 2040.

“Perlu ada kesepakatan (ekonomi anggota APEC) untuk memastikan bahawa komuniti Asia Pasifik akan terus aman, terbuka, dinamik dan mampan untuk mencipta satu keyakinan untuk kita bersama menghadapi masalah yang lebih ‘existential’ seperti perubahan iklim, masalah dari segi sistem ekologi yang semakin teruk.

“Bagaimana kita bersama mencari formula untuk melihat model pembangunan yang lebih mampan, inklusif dan memfokus kepada bukan hanya pertumbuhan ekonomi semata-mata tapi memastikan bahawa di manakah punca pertumbuhan ekonomi ini dan apakah dari segi hala tuju pertumbuhan ekonomi itu,” katanya.

Sebagai Pengerusi APEC 2024, Peru, diketuai oleh Presiden, Dina Ercilia Boluarte Zegarra akan mengetuai perbincangan Pemimpin APEC yang memberi tumpuan kepada pengukuhan integrasi ekonomi, mempromosikan pertumbuhan mampan dan inklusif, memajukan transformasi digital, meningkatkan keterjaminan makanan serta memupuk daya tahan rantaian bekalan dalam menghadapi cabaran global semasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini