LIMA: Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 yang bertemakan ‘Empower. Include. Grow’ dari 14 hingga 16 November ini akan menghimpunkan pemimpin ekonomi Asia Pasifik untuk memperkukuh pertumbuhan mampan dan pembangunan inklusif di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengetuai delegasi Malaysia dengan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penyertaan Malaysia dalam APEC akan mengukuhkan kedudukan negara dalam arena perdagangan antarabangsa serta menjadi platform utama bagi pelbagai perniagaan.
Ini terutama dalam integrasi rantaian perniagaan global, pemindahan teknologi, dan pembinaan keupayaan terutama bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ketika konflik perdagangan antarabangsa antara kuasa besar sering dilihat sebagai faktor risiko utama, mesyuarat APEC dapat membuka ruang kondusif bagi negara terbabit untuk mencapai konsensus yang meraikan aspek globalisasi,” katanya.
Selain penyertaan dalam AELM, Anwar akan menyertai Dialog Tidak Formal Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu, Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC, serta pertemuan pemimpin industri yang diatur Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Perbincangan ini bertujuan meraih potensi pelaburan yang akan mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia, selaras dengan keutamaan strategik yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dan inisiatif ekonomi negara yang lain,” kata MITI dalam satu kenyataan.
MITI menjelaskan, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat untuk memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dan meneroka peluang integrasi ekonomi yang lebih mendalam dalam APEC.
Perdana Menteri juga akan membincangkan bagaimana perdagangan dan pelaburan dapat membantu mengurangkan kesan cabaran geopolitik dan geoekonomi semasa.
Secara keseluruhannya, persidangan kali ini dimulakan dengan APEC CEO Summit 2024 pada Rabu dengan resepsi bertemakan ‘Gerbang Meraih Peluang Terbuka’ yang turut dihadiri oleh pemimpin global.
Antara yang dijangka menjadi tumpuan utama pada persidangan kali ini juga adalah sesi perbincangan ‘Peluang dan Cabaran Dalam Revolusi AI’ yang mana Anwar akan menyampaikan pandangan mengenai potensi transformasi ekonomi dibawa oleh kecerdasan buatan (AI).
Persidangan kali ini turut membabitkan pemimpin global dalam membincangkan isu kritikal seperti perubahan iklim dan geopolitik.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, dijadual untuk menyampaikan ucapan penutup pada hari terakhir persidangan.
Ucapan dijangka memberi tumpuan kepada cabaran geopolitik dan ekonomi sedang dihadapi negara APEC serta kerjasama antara negara besar dan kecil untuk menangani isu global.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.